DENDAM.....
Embol dengan perasaan geram cuba mengoyakkan rahang buaya berkenaan sambil
disaksikan oleh Indet. (Gambar kiri) Indet menunjukkan bekas tembakan di bawah
dagu buaya yang telah berjaya ditangkapnya.
Oleh : KEPU SIDI
SARATOK: Buaya jantan yang
dipercayai membaham isteri Tuai Rumah Embol Asom dari Sungai Anak, Pelunga
Roban, dua minggu lalu berjaya ditewas setelah memakan pancing berumpankan
anjing yang dipasang pawang buaya Indet Sanabong.
Kepastian bahawa buaya terbabit
adalah Bujang Seblak yang bertanggungjawab membaham Siah Monsung adalah
berdasarkan terdapat kesan tembakan di bawah dagu buaya terbabit yang masih
jelas kelihatan.
Perkara ini turut mendapat
kepastian daripada pawang buaya Indet Sanabong yang terkenal dengan pengalaman
selama 34 tahun dalam bidang memburu buaya.
Buaya sepanjang 12 kaki itu
berjaya didaratkan oleh Indet bersama seorang pembantu dan dua penduduk kampung
terbabit pada sekitar jam 8 pagi semalam.
Berdasarkan cerita yang disampaikan
oleh penduduk kampung terbabit, satu tepukan di kepala reptilia terbabit telah
menyebabkan ia terus diam dan menuruti kata-katanya (Indet).
“Pada mulanya, buaya yang
terkena pancing pawang yang hanya bertali rotan itu begitu kuat meronta dan
seolah-olah mahu menyerang balas.
“Namun sebaik sahaja pawang
berkenaan membaca menteranya dan menepuk di kepala buaya tersebut ia terus
berhenti dan seolah-olah menjadi bodoh dan menuruti segala perintah pawang
berkenaan,” cerita mereka yang ditemui oleh pemberita semalam.
Sementara itu, Indet, 49,
yang ditemui Utusan Borneo berkata beliau amat yakin buaya yang membunuh isteri
Tuai Rumah Embol adalah buaya yang berjaya ditewaskannya itu.
“Salah satu bukti yang
paling nyata kita dapat lihat ialah satu kesan tembakan yang terdapat di bawah
dagu buaya ini.
“Tambahan pula, tugas saya
selaku pawang buaya ini adalah hanya menewaskan mana-mana buaya yang pernah
berbuat dosa iaitu dengan menjadikan manusia sebagai mangsa mereka atau dalam
bahasa Iban ‘Puni’, memakan daging manusia.
“Ini bermaksud mana-mana
buaya yang pernah memakan daging manusia akan dikira berdosa dan saya yakin ia
tidak akan terlepas dari memakan umpan yang telah dipasang dan semua perkara
itu sudah termeterai dalam perjanjian mentera saya,” jelas Indet.
Tambahnya, buaya terbabit
telah memakan umpan yang telah dipasang mereka di kawasan Lubok Sungai Nyiar,
iaitu kawasan buaya besar berkenaan sering timbul.
“Tugas saya memancing buaya
di Sungai Seblak untuk memburu buaya yang bertanggungjawab akan saya hentikan
hari ini (semalam) kerana saya yakin bahawa buaya yang bertanggungjawab dalam
melakukan serangan terhadap isteri Tuai Rumah Embol telah berjaya ditangkap,”
katanya.
Pada seminggu lepas Indet
juga telah berjaya menewaskan dua ‘orang kanan’ Bujang Seblak iaitu seekor buaya
jantan yang dikenali sebagai Bujang Muara sepanjang 9.2 kaki dan seekor buaya
betina dikenali dengan jolokan ‘Dara Nanga’ sepanjang 8.9 kaki.
Kedua-dua buaya terbabit
telah memakan umpan yang dipasang oleh Indet di kawasan kira-kira satu
kilometer dari muara Sungai Anak.
Sementara itu, pihak Sarawak
Forestry Corporation (SFC) yang turut sama melancarkan gerakan memburu buaya
bermasalah di Sungai Seblak sejak beberapa hari lepas turut mendapat seekor
buaya betina sepanjang sembilan kaki berhampiran muara Sungai Anak.
Pada masa yang sama, buaya
yang diberikan jolokan penduduk setempat dengan nama Bujang Seblak telah dibawa
ke pekan Roban dengan menggunakan bot dari Sungai Anak.
Ketibaan buaya terbabit di
pekan kecil Roban ‘disambut’ oleh ribuan penduduk yang telah bersedia untuk
melihat sendiri buaya berkenaan dan ia telah dibawa ke balai polis untuk
tindakan yang selanjutnya iaitu pengumpulan data.
Namun begitu pelbagai
persoalan timbul daripada mulut masyarakat setempat, khususnya yang pernah bertembung
dengan buaya terbabit di sungai berkenaan.
Persoalannya, adakah buaya
berkenaan betul-betul Bujang Seblak atau buaya biasa kerana buaya yang diberi
jolokan Bujang Seblak menurut penduduk mempunyai saiz yang amat besar, iaitu
saiz belakangnya hampir menyamai sebuah kereta Kancil.
Tetapi buaya yang berjaya
ditewaskan bersaiz sederhana sahaja kata mereka dan ia terus menjadi tanda
tanya adakah buaya yang sebegitu besar ada wujud di Sungai Seblak atau
sebaliknya.
Sekitar jam 4 petang
semalam, buaya terbabit dibawa semula ke Rumah
Embol di Sungai Anak oleh pihak SFC untuk dibedah isi perutnya bagi
pengumpulan data sebelum ia dikuburkan. (UB)
No comments:
Post a Comment