ASAS DASAR luar Malaysia terus dibina atas rangkaian bilateralisme, regionalisme dan multilateralisme (BRM), kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata dalam konteks ini, Asean terus berada pada teras dasar tersebut.
"Kita percaya kerjasama dan persefahaman rapat di kalangan 10 negara anggota Asean akan terus menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan yang lebih besar di rantau ini," kata beliau dalam ucapannya mengalu-alukan lawatan delegasi asing ke Wisma Putra di sini pada Rabu.
Delegasi 88 orang dari 25 negara itu melakukan lawatan tersebut selepas menghadiri forum antarabangsa dua hari yang bermula Isnin lepas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.
Beliau juga berkata Malaysia akan terus memperjuang dan mengetengahkan pandangannya tentang perkara-perkara penting pada platform bilateral dan multilateral.
Anifah berkata Malaysia berpandangan bahawa semua negara, tidak kira besar atau kecil, kaya atau miskin, mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk masa depan.
"Isu Palestin, misalnya, menjadi isu utama yang terus diperjuangkan dengan kuat oleh Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip tersebut.
"Malaysia menyokong penuh hak sah penduduk Palestin bagi mendapatkan sebuah Negara Palestin merdeka, berdasarkan penyelesaian kewujudan dua-negara".
Beliau berkata Malaysia terkenal sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencadangkan pembentukan Gerakan Wasatiah Global.
Beliau berkata cadangan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke 65 tahun lepas dan idea itu yang beliau ulangi di sesi UNGA ke 66 baru-baru ini mendapat sanjungan para pemimpin dunia. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment