Thursday, 1 December 2011

PEMBANGKANG BAGAIKAN ‘6 JAHANAM’



Oleh : TG AZMAN TG ABAS

PEMBANGKANG hari ini diumpamakan seperti kisah filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘6 Jahanam’ yang disifatkan sebagai sebagai versi ‘6 Jahanam’ moden.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata polemik politik jijik pembangkang yang cuba berangan-angan melaksanakan formula kehancuran negara dalam usaha mengangkat mereka di mata rakyat dalam usaha merebut kuasa.

Menurut beliau tindakan pembangkang yang cuba menjahanamkan sistem demokrasi negara dengan seringkali menggunakan kebangkitan di Timur Tengah untuk menghasut rakyat ke arah revolusi jalanan seolah-olah sistem demokrasi tidak wujud di negara ini.

“Pada mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN. Pada mereka BN adalah pencuri pilihanraya, menidakkan suara rakyat, dan menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa. Jika benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden 16 September?

“Tak cukup dengan itu, baru-baru ini Azmin Ali dengan gah mengumumkan hasrat PKR untuk memecah tembok penjara bagi membebaskan Anwar Ibrahim sekiranya didapati bersalah dalam kes liwatnya.

“Semestinya ini bukan kenyataan pendukung demokrasi yang sebenar. Undang-undang negara, sistem kehakiman negara semuanya tidak diendahkan. Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim ke arah sasaran sempit mereka,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung Pemuda UMNO di sini, kelmarin.

Khairy seterusnya berkata formula enam jahanam mereka seterusnya adalah untuk menjahanamkan sistem pentadbiran selain mejahanamkan maruah serta sejarah negara.

“BN adalah satu parti yang telah terbukti keupayaannya dalam mentadbir negara. Semangat setiakawan antara parti komponen dapat dilihat dengan jelas dalam pemilihan Jemaah Kabinet oleh Perdana Menteri.

“Bagaimana pula dengan pembangkang? Sehingga kini, mereka masih gagal memberikan kita Kabinet Bayangan. Yang mereka ada, 3 penyelia untuk satu portfolio; tiga kepala, satu badan. Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet di masa hadapan siapa Perdana Menterinya? Anwar, Guan Eng atau Haji Hadi?

“Begitu juga dalam soal pengurangan kakitangan awam yang mana tiada langsung sebab untuk kurangkan saiz kakitangan awam. Sesungguhnya, bagi penjawat awam yang bakal mengundi kelak, undi untuk pembangkang adalah sama seperti menabur pasir ke periuk nasi sendiri.

“Dan bayangkan pula apa akan jadi kepada pentadbiran undang-undang? PAS mahu laksanakan hudud, tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu. Jika Pakatan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di negeri berbeza? Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut geografi? Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan. Kalau di KL, sumbat penjara. Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata Khalifah Lim Guan Eng.

“Inilah realiti sekiranya penjunjung komunis dibiar mentadbir negara. Lesap habis segala fakta sejarah. Kesemuanya bakal diganti mitos pro Komunis yang menyanjungi pengganas, para pembunuh anggota polis. Sejarah negara dan asal usul bangsa menjadi mangsa keempat pakatan jahanam,“ katanya.

Kata beliau lagi jati diri bangsa serta kemakmuran ekonomi negara yang seolah-olah tidak menjadi fokus kepada pembangkang menyerlahkan sikap rakus mereka yang hanya mengambil jalan populis.

“UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Malangnya ini bukan fokus Pakatan Rakyat. Yang mereka tahu, gadaikan kepentingan bangsa, cabar kesucian agama, asalkan kepentingan politik mereka terjaga.

“PAS dan PKR masih sanggup bersekongkol dan hanya mendiamkan diri melihat orang Melayu di Pulau Pinang diasak dan dipijak-pijak oleh DAP. Hari ini, menjadi orang Melayu di Pulau Pinang, tak ubah seperti merempat di bumi sendiri. Bukan sekadar jatidiri Melayu hancur, warna kulit kita pun dah dipersenda.

“Pembangkang mengapung-apungkan kononnya mereka sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat. Saya teringat akan satu pesan bidalan lama yang manis jangan segera ditelan, yang pahit jangan segera dibuang. Inilah formula Pakatan pembangkang. Janji manis, pendekatan populis, negara muflis,” katanya.

Khairy seterusnya mengungkapkan petikan pantun bagi memberi gambaran pembangkang yang sebenarnya.

Awan datang lindungi bulan,

Malam pekat sunyi rasa;

Politik pembangkang sarat kebencian,

Hasut rakyat demi kuasa.

Dentam-dentum atas permatang,

Orang mengemping padi muda;

Melayu terpinggir di Pulau Pinang

Air Kelantan tak bersih jua.

No comments:

Post a Comment