Sunday, 4 December 2011

ELAK LAPORAN BERSIFAT MENGAMPU



SATU WARNA ...Lajim (tengah) memperkatakan sesuatu kepada dua rakan ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Mohd Fuad Zarkashi dan Dato' Shaziman Abu Mansor semasa perhimpunan Agung Umno petang kelmarin.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMIMPIN Umno di semua peringkat diingatkan agar mengemukakan laporan kekuatan parti kepada pucuk pimpinan tertinggi secara realistik dan mengelak laporan yang bersifat ‘mengampu’.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, laporan yang telus akan membawa kesan positif kepada parti dan natijahnya kejayaannya akan dapat dilihat pada keputusan plilihanraya umum akan datang.

"Dalam mencari kekuatan jentera serta sokongan ahli parti di peringkat akar umbi, laporan pada kertas perlu sama dengan situasi sebenarnya kerana bukan sahaja mengambarkan keadaan sebenarnya; namun kita sentiasa bersiap sedia dari masa ke semasa apabila Presiden parti sudah membunyikan semboyan untuk kita berhadapan dengan PRU ke 13 akan datang," katanya ketika ditemui semasa persidangan Perwakilan Umno 2011 di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, laporan yang tidak telus ini menyebabkan kepimpinan parti berada dalam keadaan Zon yang selesa sambil lewa melaksanakan tugas dan tanggungjawab memperkasakan parti.

Tambahnya rakyat di peringkat akar umbi kini lebih bijak memikirkan parti mana yang perlu mereka pilih dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan bagi mempastikan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.

"Jika semua pemimpin parti melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka selama ini, sebenarnya lebih mudah kepada parti untuk memenangi pilihanraya umum akan datang kerana rakyat telah menilai apa yang telah kita lakukan untuk mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, kepimpinan parti tidak boleh terlalu optimistik dalam menentukan kejayaan parti pada PRU ke 13, tanpa melakukan pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan sebarang isu dan masalah di kawasan masing-masing.

"Keyakinan kita perlu berteraskan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan sebelum ini, jika kita melakukan yang terbaik, insyallah parti akan mencapai keputusan yang terbaik pada PRU ke 13 nanti," tegas Lajim.

Dalam perkembangan lain, beliau juga turut mengingatkan perlunya budaya bekerja berpasukan bagi memperkasakan kekuatan parti dengan menolak survival peribadi.

"Ketika kita menggalas tanggungjawab serta semboyan yang dibunyikan Prsiden parti Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam keadaan yang siap siaga; bukannya menimbulkan pelbagai spekulasi tentang calon yang bakal diketengahkan kerana itu merupakan hak Presiden dan kepimpinan tertinggi parti yang menentukannya. Apabila kita terlalu memikirkan soal calon, keadaan ini boleh mengudang kepada kelemahan parti menghadapi pilihanraya umum nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment