Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI
PENJENAYAH Alam Sekitar yang didapati menjadikan sungai-sungai di Sabah sebagai pembentung sisa buangan harus dihukum penjara dan penalti kompoun.
Presiden Persatuan Sahabat Pencinta Alam Sabah (SAS), Wainin Setimin berkata hukuman tersebut akan menjadi pengajaran kepada pihak Pengarah dan Pengurus kilang-kilang kelapa sawit agar tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan.
Katanya lagi, SAS juga mencadangkan kepada pihak yang berkenaan supaya mana-mana kilang yang mengulangi kesalahan kali kedua menjadikan sungai sebagai pembentung sisa buangan, lesen kilang tersebut dibatalkan serta merta.
“Sungai merupakan sumber yang membekalkan keperluan air kepada kita semua, menjadikan sungai sebagai pusat pembentung sisa buangan satu tindakan yang merbahayakan kepada kita, tindakan tegas dan hukuman yang berat perlu diambil ke atas mana-mana Penjenayah Alam Sekitar,” tegas Wainin lagi.
SAS kata Wainin, menyokong dan memuji tindakan Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Sabah atas kerja keras Menteri tersebut bersama agensi kerajaan yang berkenaan melawat ke kilang-kilang dan tapak pembentungan sisa di Segaliud dan tapak lain baru-baru lalu.
Menurut Wainin, gerak kerja Masidi melawat ke kilang-kilang dan tapak pembentungan sisa perlu dibuat lebih kerap lagi ini penting bagi memastikan agar kesalahan seumpamanya tidak lagi berulang di masa hadapan.
“SAS bersedia memberikan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Sabah, agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan Persatuan SEPA dalam usaha menangani isu-isu pencemaran sungai di negeri Sabah,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA), Wong Teck menyokong penuh cadangan mendakwa kilang-kilang minyak kelapa sawit yang menjadikan sungai-sungai di negeri ini sebagai pusat pembentung sisa buangan.
Menurut Wong tindakan tersebut harus termasuk memenjara para Pengarah dan Pengurus kilang-kilang berkenaan dan bukan setakat denda.
No comments:
Post a Comment