Oleh : AZMAN ARIFFIN
PERLU diakui bahawa Datuk Husam Musa adalah antara pemimpin dalam PAS yang sering menjadi sasaran kecaman dan serangan peribadi oleh blog-blog pro UMNO dan Barisan Nasional atas pelbagai tuduhan berkaitan dengan salah laku dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Terutama sekali sejak blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdafella) dipecat dari jawatannya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kerana disyaki membocorkan maklumat dalaman berhubung dakwaan salahguna kuasa oleh bekas Pengarah Urusannya, Ariff Fahmi (juga menantu Tuan Guru Nik Abdul Aziz) kepada SPRM, imej Husam dikalangan para pengamal media baru menjadi semakin buruk sehingga sampai ke peringkat mengambil tindakan undang-undang dimahkamah.
Terbaru berkaitan perbicaraan tuntutan saman sebanyak RM 500,000 yang dikemukakan oleh Husam kepada Mohd Faizal Rohban Ahmad yang dikatakan memfitnah Husam melalui blognya, ‘Ruangbicarafaisal Online’ (Rbf). Sebelum ini Husam juga telah menyaman blogger Kickdafella sebanyak RM 5 juta berhubung satu artikel yang didakwa sebagai memfitnahnya.
Penulis tidak berminat untuk mengulas isu-isu yang membawa kepada tindakan saman oleh Datuk Husam ke atas blogger Rbf dan Kickdafella. Perkara itu biarlah mahkamah yang memutuskan, apatah lagi perbicaraan tuntutan saman ke atas blogger Rbf masih berjalan dan akan disambung pada Mac tahun depan. Campur tangan diperingkat ini hanya mendedahkan penulis kepada tindakan menghina mahkamah.
Cuma yang penulis ingin katakan pada hari ini ialah, apa pun justifikasi di sebalik tindakan Husam menyaman blogger Rbf ini, yang nyata ia adalah satu pencabulan yang ketara ke atas prinsip-prinsip bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai dan dirasmikan dalam Buku Jingga, terutama dalam hal untuk memberi kebebasan kepada rakyat menyatakan pandangan dari pelbagai arah termasuk Internet.
Buku Jingga pada halaman 7 dengan jelas menyatakan:-
”Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.”
Tindakan Husam ini jelas merencatkan intergriti buku Jingga yang sudah pun dicanang ke merata tempat dalam negara ini sebagai akujanji pimpinan Pakatan Rakyat untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baru dalam hal kebebasan media, termasuk media baru seperti blog dan lain-lainnya.
Husam boleh mencontohi langkah Datuk Seri Anwar yang tidak pernah pun mengambil tindakan saman ke atas pengamal media baru seperti blogger walaupun beliau lebih teruk dipalitkan dengan pelbagai fitnah berkaitan moral dan seksual.
Satu saman yang difailkan Anwar ke atas Tun Dr. Mahathir pada 2008 bukan kerana tulisan Mahathir di dalam blog peribadinya ‘chedet.cc’ sebaliknya atas ucapan Mahathir dalam suatu majlis yang mencemar imej Anwar. Saman itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah.
Bagaimanapun penolakan itu bukan isunya, isunya sekarang ialah tindakan Anwar tidak mengambil tindakan ke atas blogger ini bukan kerana takut tapi kerana Anwar sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat perlu menjaga intergriti Buku Jingga agar rakyat tidak melihat buku tersebut sebagai janji-janji kosong yang ditaburkan pimpinan Pakatan Rakyat untuk mendapat undi semata-mata.
Jika diikutkan dari pelbagai penipuan fakta yang dilakukan para blogger UMNO ke atasnya, Anwar boleh saja mengambil tindakan saman ke atas para blogger ini, terutama blogger ‘papagomo.com’ yang menyebar video seks yang konon membabitkan dirinya sebagai pelaku.
Tapi itu jelasnya tidak berlaku, sebaliknya Anwar menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas blogger tersebut mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
Justeru, penulis tidak faham kenapa Datuk Husam sebagai Naib Presiden PAS yang juga antara komponen utama Pakatan Rakyat, tidak boleh menjejaki langkah Anwar ini bila mana situasi yang dihadapinya adalah jauh lebih ‘kurang mudarat’ dibandingkan dengan situasi yang dihadapi Anwar.
Husam perlu mencontohi Anwar yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada para penyokong Pakatan Rakyat di alam siber ini yang bersedia pada bila-bila masa mempertahankannya dari gelombang fitnah blogger pro UMNO/BN. Yang lebih penting, mempertahankan integriti buku Jingga dalam masa yang sama.
Penulis ingin mengingatkan Datuk Husam, integriti Pakatan Rakyat melalui buku Jingga adalah jauh lebih penting dan bernilai daripada wang yang bakal diperolehi Husam jika memenangi saman ke atas blogger Rbf.
Tanpa sedar, Husam sebenarnya telah meletakkan dirinya setaraf dengan pemimpin UMNO seperti Rais Yatim yang menyekat kebebasan bersuara rakyat di Internet melalui tindakan undang-undang di mahkamah.
itu hak Husam untuk menyaman atau tidak kerana dia mgkin rasa dirinya aniayai berlainan dgn Anwar yang tak nak ambil tindakan kerana tau ia akan memakan dirinya sendiri.
ReplyDeletePAS dalam PR. harus mengikuti apa yang tercatat dalam buku jingga.
ReplyDeleteHusam dan Anwar tetap merupakan dua peribadi yang berbeza walaupun mereka berada di bawah parti pembangkang.
ReplyDeletemungkinkah tindakan Anwar lebih bersifat profesional dan tidak mengikut emosi berbanding dengan Husam?
ReplyDeleteAhli-ahli di bawah satu parti perlulah bekerjasama dan bersatu hati.
ReplyDeleteHarap rakyat akan menilai dengan bijak tindakan Husam ini.
ReplyDeletesaman adalah cara terbaik untuk membersihkan imej.. tidak ada orang yang sanggup membiarkan imejnya tercalar jika orang itu tidak melakukan apa2 seperti yang diperkatakan..
ReplyDeleteAnwar pun banyak rekod saman menyaman.. bukan hanya satu kes saja.. beliau tidak akan saman jika fitnah itu benar..
ReplyDeletemereka nampaknya mengambil tindakan yang berbeza.
ReplyDeleteapa pun, tunggu dan lihat sajalah apa yang mereka lakukan seterusnya.
ReplyDeletePerkara ini hanya akan merosakkan imej saja.
ReplyDeleteSudah semestinya Husam akan berbuat demikian kerana beliau tahu beliau tidak akan dapat bertahan lama lagi untuk mendapat sokongan dari penduduk.
ReplyDelete