Sunday, 1 July 2012

LEMBAH LENGGONG TAPAK WARISAN DUNIA



BUKIT MERTAJAM : Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam persidangannya Sabtu mengiktiraf Lembah Lenggong di Hulu Perak sebagai tapak warisan dunia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika menyatakan demikian berkata pengiktirafan itu diperoleh hasil penemuan beberapa artifak berusia lebih 11,000 tahun menerusi kerja ekskavasi ahli arkeologi negara sejak 20 tahun lepas.

"Persekitaran Lembah Lenggong yang sedemikian, kita akan dapat satu gambaran baru di samping Pulau Pinang, Melaka, Gunung Kinabalu dan juga Gua Niah. Kita sekarang mempunyai Lembah Lenggong di Perak sebagai satu penonjolan dunia di bawah UNESCO.

"Ini adalah satu pencapaian kerajaan dan rakyat yang sangat bernilai dan membanggakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti 1Malaysia bersama penduduk Kampung Penanti, di sini Ahad.

Beliau berkata kementeriannya akan mengambil inisiatif merekod dan menyusun semula data penemuan terkini bersama dengan penemuan terdahulu agar masyarakat mendapat gambaran lebih jelas berhubung penemuan itu.

Justeru itu, Rais berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri Perak untuk membuat satu kajian bersekutu berhubung pembangunan di Lembah Lenggong bagi kebaikan dan pembangunan sosio budaya dan warisan.

Terdahulu, dalam ucapannya Rais mengingatkan masyarakat Pulau Pinang agar bersatu padu dan menyemai perasaan kasih sayang antara satu sama lain supaya setiap ahli komuniti dapat bergerak seiring mengecapi nikmat kemajuan.

Katanya kemajuan yang dicapai tidak akan bermakna sekiranya rakyat di negeri ini gagal menghayati Gagasan 1Malaysia dan melupakan sejarah silam mereka.

"Pulau Pinang ini dibina oleh kita semua sejak sekian lama dahulu lagi. Apa yang penting adalah menjelmakan perjuangan kita dalam bentuk kasih sayang dan menyokong antara satu sama lain. (Bernama)


No comments:

Post a Comment