KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berjuang habis-habisan
untuk memastikan kemerdekaan yang dinikmati negara selama 55 tahun tidak
dinodai oleh sesiapapun.
Dengan nada penuh
bersemangat, Perdana Menteri juga berharap generasi sekarang tidak
mensia-siakan perjuangan pemimpin terdahulu, yang dengan jerih payah dan darah
mereka, berkorban memerdekakan negara ini.
"Saya mengajak semua
rakyat Malaysia supaya merapatkan barisan kita, supaya kita dengan suara
1Malaysia, dengan satu suara, satu impian, satu harapan, 1Malaysia jadikan
sambutan 55 tahun ini sebagai satu sambutan yang cukup meriah," katanya
ketika melancarkan program Kibar Jalur Gemilang di Little India, Brickfields di
sini Selasa malam.
Beliau berkata dalam tempoh
55 tahun kemerdekaan negara, banyak janji yang telah kerajaan tepati.
"Kita maju dan kita
berjaya kerana selama 55 tahun kerajaan telah menepati janji kepada rakyat,
kita janjikan sebuah negara yang bersatu padu dan kita telah dapat menjamin
keadaan sedemikian.
"Kita menjanjikan
sebuah negara yang akan melalui proses transformasi daripada sebuah negara
pertanian kepada sebuah negara industri dan kini kita bercita-cita melonjakkan
negara kita sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya
di hadapan lebih 15,000 pengunjung yang tidak berganjak walaupun hujan
renyai-renyai turun membasahi bumi.
Najib mengajak rakyat negara
ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada seluruh dunia rasa
cinta terhadap negara dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang
berjaya dalam erti kata sebenarnya.
"Saya berbangga bahawa
sambutan Hari Kemerdekaan kita bermula dengan kibaran Jalur Gemilang. Ini
bererti bahawa dalam tempoh (malam ini) hinggalah kepada 31 Ogos dan seterusnya
pada 16 Sept, kita akan menyemarakkan semangat cinta kepada negara kita dengan
mengibarkan Jalur Gemilang di mana saja yang boleh kita lakukan.
"Kibarkan Jalur
Gemilang di mana saja, di bumbung rumah kita, di luar pagar rumah kita, di
bangunan pencakar langit, di rumah kedai, pada kereta kita, teksi-teksi atau
apa jua jenis kenderaan, kibarkan bendera Jalur Gemilang kita," katanya.
Sementara itu, Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan kempen Jalur
Gemilang di Kampung Baru meminta semua pihak mengibar bendera negara sebagai
satu lambang kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme bagi
mencapai wawasan kegemilangan.
Beliau berkata Jalur
Gemilang bukan sekadar sehelai bendera tetapi lambang dan simbol kedaulatan
negara yang mempunyai makna besar dan mendalam ertinya.
"Lambang Jalur
menggambarkan hala tuju dan arah yang sama dan gemilang itu melambangkan
kecemerlangan yang dicapai di mana setiap lambang dan warna yang terdapat pada
Jalur Gemilang mencerminkan masyarakat Malaysia serta cita-cita negara yang
meliputi konsep gagasan 1Malaysia," katanya.
Beliau berkata tema '55
Tahun Merdeka, Janji Ditepati' pada tahun ini jelas menggambarkan dasar
kerajaan yang sentiasa prihatin kepada keperluan dan hasrat rakyat dengan
menjaga kebajikan serta melonjakkan mereka dalam arus pembangunan negara.
Muhyiddin berkata semua
pihak hendaklah memelihara perpaduan kerana ia adalah satu nikmat yang tidak
ternilai harganya dan tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian dan
keutuhan daya saing ekonomi negara.
Katanya rakyat yang bersatu
padu dan bekerjasama mampu menjadi benteng kukuh untuk menghadapi sebarang
ancaman sama ada dari dalam mahupun luar.
Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi
Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Kemerdekaan, berkata semangat mengibarkan
Jalur Gemilang perlu dizahirkan semua kaum di negara ini.
Beliau berkata semangat
cintakan negara perlu dipertahan bagi menjamin masa depan yang lebih aman dan
rakyatnya dapat hidup bersatu padu.
Di Jalan Petaling, Menteri
Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap setiap rakyat dapat menjiwai
semangat kemerdekaan ini dengan mengibar Jalur Gemilang secara sukarela tanpa
mengharapkan bendera percuma daripada kerajaan.
Beliau berkata pengibaran
Jalur Gemilang menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini dan
pembakar semangat rakyat untuk menghayati erti kemerdekaan dan mensyukuri nikmat
keharmonian yang dikecapi Malaysia.
"Sikap toleransi yang
diamal selama ini menjadi benteng yang mengukuhkan perpaduan antara kita
semua," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment