KETIKA kes jenayah yang
berlaku di pusat membeli belah terus menjadi tajuk utama, sepasukan anggota
polis membuat lawatan simbolik ke salah sebuah pusat membeli-belah paling
popular di ibunegara untuk sesi bertemu dan beramah mesra dengan para
pengunjung.
Mereka datang bukan dengan
bersenjatakan belantan, gari dan peralatan mengawal jenayah, tetapi sebaliknya
kumpulan lelaki beruniform biru itu tiba dengan berbekalkan senyuman sambil
membawa beg cenderahati semasa mengunjungi Midvalley Megamall semalam.
Diketuai Pengarah Pengurusan
PDRM, Datuk Mortadza Nazarene dan pegawai tinggi polis kontinjen Kuala Lumpur,
rombongan tersebut dilihat beramah mesra dengan para pengunjung pusat
membeli-belah tersebut.
Mortadza juga mempamerkan bakat
menyanyi dengan diiringi oleh pemuzik yang berpakaian seragam polis.
Sepanjang kunjungan
tersebut, Mortadza diiringi, antaranya, oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk
Mohmad Salleh, Timbalannya Amar Singh dan Ketua Polis Brickfields, Wan Abdul
Bari Wan Abdul Khalid.
Bercakap kepada pemberita
kemudiannya, Mortadza berkata polis bersedia untuk melatih pengawal keselamatan
dalam bidang pertahanan diri dan prosedur bantuan kecemasan, lapor Bernama.
Mortadza berkata, pengawal
keselamatan perlu menjalani latihan tersebut kerana ia juga boleh mengajar
mereka bagaimana untuk memastikan setiap ruang di dalam pusat membeli belah,
terutamanya kawasan parkir, selamat.
Bagi jenayah yang melibatkan
mangsa wanita, beliau mencadangkan pengendali pusat membeli belah menyediakan
ruang khas untuk wanita supaya mudah bagi pengawal keselamatan memantau dan
memberi tumpuan ke atas kawasan berkenaan.
Beliau juga yakin dengan
keselamatan di kawasan tempat letak kereta di pusat membeli-belah kerana pihak
polis telah meningkatkan rondaan mereka di kawasan itu, terutama di kawasan
Bukit Bintang.
Isnin lepas, Ketua Polis
Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian jenayah di pusat membeli belah
dianggap rendah kerana hanya enam laporan yang diterima di Selangor dan dua di Kuala
Lumpur.
Sementara itu, Bernama
melaporkan Mohmad menyarankan supaya pihak pengurusan pusat membeli-belah
segera menaik taraf sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis
masing-masing bagi memudahkan polis membuat rujukan sekiranya sesuatu jenayah
berlaku di kawasan tersebut.
Ketua polis Kuala Lumpur itu
berkata kegagalan CCTV berfungsi sepenuhnya merupakan antara faktor siasatan
kes jenayah di pusat membeli-belah tidak dapat diselesaikan segera.
"Untuk itu, saya minta
pusat beli-belah menaik taraf CCTV mereka kerana daripada kes-kes jenayah
sebelum ini ada CCTV tidak berfungsi dengan baik seperti tidak dapat merakam
gambar menyebabkan ia tidak dapat diguna apabila diperlukan polis,"
katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan 89 ketua unit keselamatan 80
pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata peranan CCTV
dalam menangani jenayah tidak harus diketepikan kerana fungsinya menjadi antara
faktor penting yang mampu menyumbang kepada usaha mengurangkan masalah jenayah
di pusat beli-belah dan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum polis ketika
ini.
Mohmad berkata dalam
mesyuarat lebih dua jam dengan ketua-ketua unit keselamatan pusat membeli-belah
itu, pihaknya telah bersetuju untuk mewujudkan seorang polis perantara bagi
setiap pusat membeli-belah bagi memudahkan ketua keselamatan merujuk jika
sesuatu kejadian jenayah berlaku.
Beliau turut berpendapat
bahawa kereta peronda polis harus dibenarkan memasuki ke kawasan pakir bawah
tanah pusat membeli-belah untuk mewujudkan situasi yang polis berada di
mana-mana bagi mengurangkan kejadian jenayah.
"Selain itu, saya juga
minta pemilik pusat membeli-belah turut mengambil tanggungjawab sendiri bagi
mempertingkatkan aspek keselamatan di premis mereka kerana keadaan yang selamat
pastinya memberi imej positif kepada pusat perniagaan itu sendiri,"
katanya.
Mengenai kejadian jenayah
yang berlaku di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur yang
digembar-gemburkan sebagai makin teruk, Mohmad berkata keadaan sebenar adalah
sebaliknya di mana untuk tempoh separuh pertama tahun ini, hanya sembilan kes
jenayah yang berlaku iaitu empat kes di pakir bawah tanah dan selebihnya adalah
kes di luar premis perniagaan.
"Dengan 80 pusat
beli-belah beroperasi di ibu negara, statistik itu dengan sendirinya
mencerminkan bahawa keadaan keselamatan masih terkawal, cuma ia menjadi isu
kepada masyarakat apabila dilaporkan secara berlebihan oleh pihak
tertentu," katanya.
Sementara itu, Pengarah
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh
Mat Rasid berkata, polis akan meramaikan kehadiran anggotanya di tempat awam
terutama di kawasan kerap berlaku jenayah supaya dapat menangani kebimbangan
dalam kalangan orang awam terhadap kes itu.
Bernama memetiknya berkata,
pihaknya mahu mengatasi persepsi ketakutan orang ramai terhadap jenayah dengan
menggunakan pendekatan kehadiran polis.
"Jumaat lepas, Ketua
Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) telah memanggil semua pengarah dan ketua
polis negeri untuk memantapkan lagi program bagaimana hendak mencegah jenayah
khususnya bagi mengatasi ketakutan terhadap jenayah.
"Dalam mesyuarat itu
diputuskan beberapa perkara termasuk penambahan anggota di kawasan kerap
berlaku jenayah dan menggunakan eleman dalam KDNKA iaitu memaksimumkan semua
anggota kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program
Kepolisian Berprofil Tinggi dengan penduduk Pulau Aman semalam.
Beliau berkata pihaknya akan
menggunakan anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan
Gerakan Am (PGA) dan polis Marin untuk ditempatkan di 50 kawasan 'panas' di
Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment