Sunday 28 August 2011

HABITAT FOR HUMANITY BINA 25 RUMAH



TAKLIMAT….Joanna dari Habitat for Humanity, Juse dari Pertubuhan Belia Dinamik dan Timbalannya, Rozie Jumat bersama para peserta taklimat rumah mampu milik.

Oleh : MEDIA HABITAT FOR HUMANITY

SEBANYAK 25 unit rumah telah dilaksanakan sepenuhnya oleh Habitat For Humanity sehingga setakat ini dan usaha untuk membantu lebih ramai insan untuk memiliki rumah sendiri giat dilakukan di negeri Sabah.

Presiden Habitat For Humanity, Joanna Kitingan berkata, pertubuhan itu yang baru diwujudkan di Sabah, merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan yang bertujuan membasmi perumahan kurang memuaskan dikalangan mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki rumah sendiri, dengan membina rumah-rumah yang murah, mudah dan mampu dimiliki tanpa mengenakan sebarang faedah atau keuntungan.

Beliau berkata demikian di satu sesi taklimat mengenai perumahan yang dijalankan oleh pertubuhan itu di Keningau, dengan kerjasama Pertubuhan Belia Dinamik.

“Kami telah membina rumah di Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Papar dan kali ini kita ke Keningau untuk misi yang sama,” kata Joanna, yang disertai oleh kakitangan pertubuhan iitu.

Rumah yang dibina oleh Habitat for Humanity, dibayar semula oleh pemohon dengan kadar bayaran yang dipilih mereka. Pelaksanaan pembinaan rumah ini adalah berasaskan semangat gotong-royong yang melibatkan pemohon, sukarelawan antarabangsa dari pertubuhan Habitat for Humanity seluruh dunia dan rakan-rakan.

Seramai 20 orang menyertai sesi taklimat itu yang diselenggarakan oleh Pertubuhan Belia Dinamik. Rata-rata peserta adalah dari golongan sederhana yang menginginkan sebuah rumah mampu milik dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Presiden Pertubuhan Belia Dinamik, Juse Loibin berkata, usaha membawa pertubuhan itu ke pedalaman adalah untuk memberi peluang kepada rakyat dan ahli-ahli belia yang mengingini rumah mengikut kemampuan mereka.

“Melalui sesi taklimat ini para peserta dapat mendengar sendiri tentang program Habitat for Humanity, satu usaha murni badan bukan kerajaan membantu penduduk di pedalaman,” kata Juse.

Turut hadir sama Timbalan Presiden, Rozie Jumat. Sesi taklimat yang akan disusuli temuduga para pemohon akan diadakan selepas perayaan aidil adha.

No comments:

Post a Comment