Saturday, 20 August 2011

KP APMM KEMPUNAN MAKAN DAGING RUSA?



Oleh : ZAMZURINA ZAMZURI

KETUA Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato' Mohd Amdan Kurish mungkin kempunan ketika berbuka puasa di Hotel Shangrila, Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu petang kelmarin kerana hasratnya untuk merasa kenikmatan daging rusa yang dibawa pegawainya dirampas Jabatan Hidupan Liar Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Sabahkini.net yang menerima panggilan telefon daripada ‘informer’ tidak sempat bergegas ke Lapangan Terbang tersebut untuk merakam gambar seorang pegawai APMM dan seorang pegawai Polis ditahan Jabatan Hidupan Liar kerana ramai Krew Sabahkini berada di luar kawasan membuat liputan masing-masing.

Namun Informer yang menghubungi Sabahkini tersebut gagal memberikan maklumat lengkap menyebabkan Sabahkini.net melancarkan ‘sebaran rangkaian maklumat melalui jaringan blogger’ dan mendapat maklumat yang agak cukup lengkap daripada rakan Twitter dan Cybertrooper Pro-Sabahkini.net.

Hasil maklumat daripada ‘Jaringan Black Widow’, Sabahkini.net dapat mengesan daging rusa (atau seangkatan dengannya) seberat lebih kurang 20 kilogram dibawa oleh Komander APMM, Azman Shamsuddin melalui Penerbangan Malaysia MH2134 daripada Tawau, pada 2.30 petang dan tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 3.30 petang kelmarin.

Ketika melalui pemeriksaan rutin Jabatan Hidupan Liar, Azman dan seorang lagi Inspektor Polis yang turut membawa daging beku yang dipercayai daging hidupan liar telah ditahan untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan; tetapi daging rusa atau hidupan liar yang mereka bawa telah dirampas.

Mungkin Laksamana Dato' Mohd Amdan Kurish yang tiba dalam waktu yang sama daripada Kuching Sarawak untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa APMM di Hotel Shangrila, Bandaran Berjaya tidak menyedari pegawainya diberkas Jabatan Hidupan Liar.

Mengikut siasatan Sabahkini.net Komander Maritim Azman Shamsuddin merupakan Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau yang ingin ‘membodek’ Ketua Pengarah APMM untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi dalam proses ‘Pertabalan’ APMM sebagai Agensi Penguatkuasa Tunggal Maritim di Malaysia; sehingga sanggup membawa daging rusa berkenaan yang telah didingin beku, sedangkan beliau tahu bahawa Rusa adalah Haiwan dilindungi di Sabah.

Dengan semangat yang membara kerana terbayangkan kenaikan pangkat, Azman telah meminta Pejabat APMM Sabah menghantar kenderaan rasmi APMM bersama pemandu untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Manakala seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang turut ditahan bersama Azman tidak dapat dikenalpasti namanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Lawrentius Nambu ketika dihubungi mengesahkan penahanan Azman dan seorang Inspektor polis kerana disyaki memiliki daging haiwan yang dilindungi; namun enggan mengulas lanjut kerana daging yang dirampas telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk penganalisaan dan pengesahan spesis.

Mengikut prosedur, Jabatan Hidupan Liar perlu menyiapkan Kertas Penyiasatan termasuk mendapatkan bukti pengesahan makmal sebelum boleh bertindak terhadap tertuduh mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Namun daripada maklumat Twitter yang baru diterima jam 5.44 pagi tadi, adik Ketua Pengarah APMM yang bertugas sebagai anggota polis berpangkat Sarjan dipercayai sedang berusaha untuk memujuk Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau untuk membelakangkan tarik permit memburu bagi melindungi abangnya dan Azman yang mungkin kehilangan jawatan atau dihadap ke Lembaga Tatatertib jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment