DUKA.....Walau cuba mempamer wajah ceria namun garis kedut pada wajah mereka melakarkan duka sepanjang zaman.
Oleh: FLAVIUS ROBERT
APA ditunggu guruh di langit, jikalau hujan tidak mahu turun; apa ditunggu manisnya janji, jikalau sekadar pemimpin lembut gigi daripada lidah. Demikianlah bunyi sekilas pantun seloka yang memberi maksud bahawa kecenderungan pemimpin BN yang tidak telus dengan janji-janji manis mereka semasa pilihanraya lalu, mungkin untuk kesekian kalinya menunaikan janji.
Kiasan ini terbukti apabila sepasang suami isteri warga emas yang mendiami sebuah pondok daif kawasan perkampungan terpencil di Kg Tukalilan, kira-kira 5 kilometer dari Pekan Kecil Melalap, Tenom, kini pasrah menghitung hari tua mereka menanti janji YB hari demi hari.
Warga malang tersebut, Amin bin Duaya, 80, dan isterinya Sainda binte Rugin, 78, dengan nada sebak menceritakan kepada Sabahkini.net bahawa niat mereka untuk mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) hanyalah mimpi di dalam mimpi kerana terus dipinggirkan saban tahun.
“Kini kami berdua tidak mengharapkan janji terang bulan itu lagi. Biarlah kami habiskan sisa hidup kami di dalam istana buruk ini,” jelas Amin sambil menunjukkan lantai di tengah tengah rumahnya sama seperti ‘lansaran’ (pelantar tarian Murut Taghol yang terhenjut-henjut).
Amin bersyukur kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan untuk menyara penghidupan seharian mereka sambil menjadi pemerhati pembangunan dalam keadaan sesak menghela nafas di ambang kemerdekaan ke penjuru nasib.
PASRAH….. Amin dan Sainda pasrah dengan kemiskinan yang merantai kehidupan mereka di gubuk buruk di ambang merdeka.
“Semua masalah kami sudah beberapa kali dilaporkan JKKK, tetapi sampai sekarang tidak ada sebarang khabar berita,” jelasnya yang bosan dengan pujuk rayu Wakil Rakyat dan pegawainya.
Sekilas mata memandang, kita akan turut merasa betapa pilunya hati apabila melihat keadaan pondok Amin yang menjadi tempat mereka berteduh, hanya berdinding dan berlantaikan buluh; sudah terlalu uzur hampir sebaya dengan usia mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK John Matsatu ketika dihubungi mengesahkan bahawa permohonan untuk mendapat bantuan rumah bagi warga emas itu telah pun berulang kali dikemukakan kepada pihak berkenaan, namun jawapan yang diterima memintanya bersabar dan menunggu.
No comments:
Post a Comment