Friday, 19 August 2011

PM TAMBAH RM10 JUTA BUAT SABAH



KETUA Menteri Sabah Datuk Musa Aman berkata peruntukan tambahan RM10 juta bagi setiap negeri termasuk Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa beliau memberi perhatian kepada pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu amat bermakna dari segi meningkatkan ekonomi di Sabah terutama dalam usaha menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri di bawah bayu itu.

"Sabah adalah negeri yang mempunyai tadbir urus kewangan terbaik di Malaysia, maka sebab itu ramai pelabur tertarik untuk melabur di Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama mahasiswa Sabah anjuran Kumpulan Yayasan Sabah di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam Khamis.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan di Putrajaya hari ini bahawa peruntukan itu akan diberi tahun depan di bawah Geran Asas Peringkat Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan.

Musa turut mengulas mengenai Cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dilibatkan dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang penubuhannya diumumkan Najib Isnin lepas.

Katanya cadangan itu adalah hanya helah pembangkang dalam usaha memesongkan pemikiran rakyat.

"Pembangkang sebenarnya hanya mahu menggunakan NGO sebagai batu loncatan buat mereka menzahirkan kepada rakyat bahawa kononnya kerajaan tidak bersikap telus dalam sistem pilihan raya.

"Sekarang kerajaan hanya melakukan perkara yang sepatutnya malah, jawatankuasa terpilih ini adalah jawapan kepada tuntutan mereka (mengenai ketelusan sistem pilihan raya)," katanya.

Musa yang menyokong penuh penubuhan jawatankuasa itu, berkata apa yang kerajaan lakukan adalah amalan demokrasi biasa dan pembangkang sewajarnya turut serta dalam jawatankuasa tersebut supaya mereka tahu bahawa kerajaan sebenarnya ikhlas dalam hal itu.

"Tidak ada apa yang perlu disembunyikan kerana kami sentiasa telus, yang penting usaha kerajaan ini untuk membuktikan amalan demokrasi. Jika pembangkang tak puas hati, kita boleh bincang dan buat jawatankuasa supaya mereka tahu kita tidak ada lagi syak wasangka dengan mengatakan kita mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Mengenai perpaduan Barisan Nasional (BN) di Sabah, Musa berkata BN khususnya UMNO meneruskan usaha mendekati rakyat sehingga ke akar umbi bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan yang melanda rakyat di Sabah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment