Friday, 19 August 2011

3 KALI TUKAR METER, HANYA KELUAR ANGIN



BIL…..Suami Samira menunjukkan tiga bil pemasangan meter bertulis tangan yang dikeluarkan Jabatan Air Kunak di samping meter air yang masih menjadi kontroversi.

Oleh : CITRA MASADI

PENDUDUK kampung Cenderawasih sudah muak dengan sikap tidak professional Jabatan Air Kunak yang mengamalkan tadbir urus di zaman batu dan menggunakan ‘Hukum Rimba’ untuk mengurus isu kekontangan air paip walaupun Kunak mengalami lebihan bekalan air bersih.

Seorang pelanggan Jabatan Air, Samira Binti Lante, ketika ditemui mengesahkan beliau bernasib malang kerana terpaksa menukar meter airnya sebanyak tiga kali dan tidak sanggup lagi melayan karenah tidak professional kakitangan Jabatan Air Kunak.

“Mula-mula mereka datang mau potong meter air kerana ada hutang lama oleh pelanggan terdahulu. Mereka suruh ambil meter baru dan bayar RM200. Selepas itu mereka datang lagi dan kata meter yang dipasang tidak berdaftar dengan Jabatan Air. Mereka ganti meter lagi dan minta bayar lagi RM200. Tapi sampai sekarang paip di rumah saya hanya keluar angin,” ujar Samira yang kesal kerana diperbodohkan Jabatan Air Kunak.

Menurut , beliau kecewa dengan sikap Wakil Rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang dan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang tidak langsung mempedulikan aduan dan rayuan penduduk kampung agar masalah yang berlarutan sejak tiga tahun lalu diselesaikan secara tuntas, tanpa perlu membeli air.

“Kita bukan minta wang atau projek. Kita hanya minta bekalan air jangan dicantas (catu). Kita terlibat dengan IKS (membuat kerepek ubi) dan memerlukan banyak air. Tanpa air, kami tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa membeli air daripada lori tangki dan dalam masa yang sama membayar bil air,” ujar Samira lagi.

Isu bekalan air Kunak gempar baru-baru ini ekoran Setiausaha JKKK Kampung Cendewarasih Kunak, Ahmad Bin Andi Mangga melakukan demonstrasi memprotes kecuian kerajaan dengan kencing di dalam botol dan berkata; “Jangan Sampai Kami Kirim Kencing Kepada Perdana Menteri, Gara-Gara Shafie Apdal.”

Selepas teguran Ahmad, kontraktor yang dituduh sebagai menjadi punca penyebab gangguan bekalan air, Protokol Juta Sdn.Bhd sudah memasang papantanda projek setelah menjalankan ‘Projek Hantu’ selama tiga minggu.

Selain daripada Kampung Cenederawasih, penduduk kampung Dasar Baru Kunak turut menderita ketiadaan bekalan air sejak meter air dipasang 11 tahun lalu, sekalipun terpaksa membayar cagaran RM300.

“Jika keadaan ini tidak selesai sebelum hari raya, kembalikanlah wang deposit meter kami yang disimpan Jabatan Air sejak 11 tahun lalu,” kata Aziz yang kecewa dengan senario yang berlaku.

Kata Aziz, jangan sampai nanti ada penduduk Kunak mencontohi tindakan Ahmad dengan melempar najis ke rumah Adun atau Ahli Parlimen kerana kegagalan mereka mengatasi masalah yang berlarutan 11 tahun lalu, setelah wakil rakyat silih berganti.

No comments:

Post a Comment