Saturday 10 December 2011

1MALAYSIA KESINAMBUNGAN RUKUN NEGARA



TIBA….Kelihatan Radin (kanan) bersama Dato’ Ibrahim Saad masuk Dewan rasmi Program 1Malaysia.

Oleh: SIMON MAMAT

KAKITANGAN kerajaan berserta dengan pemimpin masyarakat perlu berganding bahu untuk bekerjasama dalam menyampaikan misi dan visi kerajaan kepada rakyat akar umbi; berpaksikan maklumat yang hendak disampaikan itu adalah tepat, supaya rakyat tidak terkeliru matlamat dasar-dasar kerajaan yang memberi kebaikan kepada rakyat jelata.

Demikian dinyatakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh yang mengajak kakitangan kerajaan mahu pun pemimpin masyarakat tempatan agar membuka minda dan mata mereka supaya mendapatkan maklumat yang tepat berhubung dengan dasar-dasar kerajaan dan seterusnya membuka mulut untuk menyampaikan maklumat itu kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, melalui maklumat yang betul dan tepat menerusi beberapa perubahan yang dikenali sebagai sistem transformasi kerajaan masa kini, agar kemajuan kampung berteraskan kepada suatu sistem yang cekap, cepat dan tepat.

“Kadang-kadang saya keliru apa dia transformasi dan terpaksalah kena rujuk kepada kamus. (Jadi) Selepas itu barulah kita tahu bahawa transformasi itu adalah suatu mekanisma yang mengubah sistem pentadbiran ke arah yang lebih pantas demi memudahkan rakyat,” kata beliau di hadapan kira-kira lebih 500 kakitangan kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan semasa merasmi Program Perhimpunan 1Malaysia di Dewan Seri Antanom, Tenom baru-baru ini.

Penceramah khas yang diundang dari Biro Tata Negara (BTN) Sabah, Dato’ Ibrahim Saad merupakan kali kedua memberikan ceramah selepas lebih dua bulan lalu. Turut hadir di majlis itu, Pegawai Daerah Siriman MF Basir; bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Kadoh Agundong; OKK David Jani; ADO Fredian Gan; ADO Pentadbiran Clarence Puin Pinduruh dan para pemimpin masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, Radin turut meminta jabatan-jabatan yang akan mengadakan majlis agar menjemput Datuk Kadoh untuk merasmikan majlis itu kerana beliau adalah merupakan bekas Menteri yang juga wakil rakyat di sini yang seharusnya diberi pernghormatan kerana jasa-jasa beliau sebelum ini.

“Kita pernah mendengar berbagai spekulasi liar dari pihak tertentu kononnya beliau sudah tidak sehaluan lagi dalam kerajaan sekarang dan kononnya beliau akan berpindah ke pihak pembangkang. Sebaliknya, semua itu khabar angin tidak betul. Apa yang pasti Datuk Kadoh masih tetap bersama kita seperti yang kita lihat sekarang,” jelas Radin yang disambut tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Mengenai dengan konsep 1Malaysia, kata Radin bukanlah perkara baru, malahan ia sebagai suatu kesinambungan kepada konsep Rukun Negara yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada ketika itu iaitu selepas ‘Peristiwa Hitam’ 13 Mei 1969 yang merasakan bahawa kelonggaran perpaduan yang erat antara kaum di negara ini ,sebagai punca tercetusnya peristiwa hitam itu.

“Sebagai Negara yang mempunyai penduduk majmuk, sudah pastilah perpaduan akan terhasil jikalau sifat semua kaum yang lebih mengutamakan sikap toleransi, saling hormat menghormati antara kaum dan senantiasa memupuk keharmonian semua kaum di negara ini berteraskan konsep 1Malaysia sepertimana yang digariskan dalam Rukun negara,” tegas Radin.

Katanya lagi, setiap kaum di negara ini perlu menghormati dan menghayati adat dan senibudaya sesuatu kaum, selain diharuskan menghormati Raja dan Negara termasuk Perlembagaan dan undang undang untuk mencapai cita-cita menjadikan sebuah negara aman dan damai seperti hari ini.

Radin seterusnya mengajak segenap lapisan rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang prihatin kepada permasalahan rakyat tanpa mengira agama dan warna kulit.

No comments:

Post a Comment