Oleh : SITI ZUBAIDAH ABDULLAH
KOTA KINABALU : Nama Long
Pasia bermaksud 'mulut Sungai Merah' dalam bahasa etnik Lundayeh, adalah sebuah
kampung di daerah Sipitang, Sabah.
Kampung ini terletak di
persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia.
Long Pasia mempunyai 85 rumah dengan kira-kira 500 orang penduduk.
Satu-satunya jalan darat ke
kampung ini, yang terletak kira-kira 125 km dari Sipitang, ialah melalui jalan
hutan balak. Dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sekurang-kurangnya
dua jam melalui jalan raya ke Sipitang dan dari sana pula sekurang-kurangnya
empat jam lagi dengan pacuan empat roda melalui jalan hutan balak ke Long
Pasia.
Penulis disambut dengan
hidangan air sejuk apabila sampai di perkampungan ini setelah melalui satu
perjalanan yang amat mencabar di sepanjang jalan hutan balak yang tidak
berturap.
Kedamaian diselubungi dengan
keindahan rimba semula jadi yang masih belum tercemar memberikan suatu
pengalaman yang amat indah sekali. Malahan suasana kedinginan apabila angin
sepoi-sepoi meniup sehingga kesejukan itu dirasai umpama di Cameron Highlands
dan Genting Highlands.
Perkampungan
Unik Lundayeh
Menurut Ketua Kampung yang
menjaga kampung itu selama 20 tahun, Mudin Sia, 60, perkampungan Lundayeh kini
berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.
Mudin berkata, penduduk
kampung kemudiannya berpecah kepada empat buah kampung berdekatan iaitu Sungai
Bunggaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.
Bagi mereka yang biasa
dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, nyata
kunjungan ke Long Pasia memberikan kesan sebaliknya.
Bukan sekadar sunyi sepi
sejak awal pagi, malah tidak ubah seperti bumi tanpa penduduk, cuma sesekali
kedengaran bunyi salakan anjing, haiwan yang paling disayangi di sekitar
kawasan berhawa dingin itu.
Kebanyakan penduduk akan
berada di kebun atau berkurung dalam rumah melakukan kerja seharian. Sukar
sekali untuk bertembung mereka di jalan atau di mana saja pada waktu pagi.
Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli. Sekolahnya tidak begitu
jauh dan agak sepi.
Melihat kepada kehidupan
mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan
sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu
padi, lada dan pelbagai jenis sayuran.
Jika hendak dikatakan maju
dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.
Tanaman secara
kecil-kecilan, namun kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Tidak cukup
sepinggan makan nasi di situ walaupun hanya dihidang bersama sardin dengan tiga
jenis sayur.
Semuanya kerana keenakan dan
kelembutan nasi daripada padi yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas
lada (cili api), yang ditanam sendiri. Masakan mereka ringkas tetapi
menyelerakan.
Namun, itulah yang
menjadikan perkampungan itu begitu unik sekali di mana ia jauh daripada
kebingitan deruman kenderaan dan hingar bingar kehidupan kota, sebaliknya
menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar diperoleh di
mana-mana.
Long Pasia dengan masyarakat
Lundayeh berada dalam dunia mereka tersendiri, malahan mereka ada pelbagai
aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal membabitkan kanak-kanak hinggalah
ke dewasa, lelaki mahupun wanita untuk mengisi kehidupan mereka di sebalik
kesunyian itu.
Hakikatnya, meskipun melalui
perjalanan memenatkan ke kampung itu pastinya berbaloi dan ia menjadi antara
penyebab utama begitu ramai pelancong gemar mengunjungi perkampungan itu dan
mendekati masyarakat Lundayeh.
Long
Pasia Dulu Dan Kini
Jika dahulu penduduk Long
Pasia tidak mampu mempunyai kenderaan dan terpaksa berjalan kaki selama lima
hari membawa bekalan dengan menggantung beras, malahan bermalam di hutan.
"Itu memang sengsara,
kadang-kadang ada muncul rusa dan gajah, terpaksa berbasah jika hujan, kami
perlu lalui jalan yang tidak rata berbukit-bukit dan menyeberang sungai,"
kata seorang penduduk Joseph Lakong Angang, 67, yang juga guru pertama menjadi
pendidik di perkampungan terpencil itu.
Angang berkata pembangunan
dan kemajuan mula dirasai di Long Pasia pada tahun 1996 dengan jalan balak dan
mereka yang mahu ke pekan Sipitang boleh membayar tambang sejumlah RM20-RM30.
Antara kemudahan lain
termasuk bekalan air paip berbanding air sungai dan penggunaan tenaga solar
bagi bekalan elektrik.
"Perkembangan dulu dan
sekarang dari segi perumahan berbeza sudah banyak berubah, katanya yang pencen
pada 2003 dengan gaji RM1,500 sebulan.
Bapa kepada sepuluh anak itu
berkata berkata kehidupan di Long Pasia sudah jauh berubah berbanding ketika
beliau mula-mula menjejakkan kaki ke kampung itu pada 1963.
"Ketika itu, saya
berusia 19 tahun sudah menjadi guru pertama mengajar anak-anak di sini,
perkmbangan dulu dan sekarang dari segi perumahan amat berbeza dan sudah banyak
berubah," katanya kepada penulis ketika berkunjung ke perkampungan terpencil
itu.
Angang berkata satu-satunya
sekolah di kampung itu amat daif 'berdinding bambu' dengan dikenali Sekolah
Kebangsaan Native Voluntary School (NVS) berdekatan lapangan terbang lama
Sipitang yang kini ditukar nama sebagai SK Long Pasia.
"Bangunan sekolah
berdinding bambu, atapnya zink yang dibuat atas bantuan askar, lantai simen dan
guru pada masa itu hanya empat orang termasuk askar sebelum guru dari
kementerian (Pelajaran) datang," katanya yang mengajar mata pelajaran
Bahasa Melayu dan Inggeris bagi murid tidak lebih daripada sepuluh orang murid
antara lingkungan umur 11 hingga 14 tahun pada masa itu.
Katanya, beliau pada masa
lampau mendapat upah dulu sejumlah RM1 bagi seorang murid selain mendapat
makanan dan minuman daripada orang kampung sebelum kerajaan mengambil alih
sekolah dengan gaji pertama RM105 sebulan pada 1971 dan serta semakin meningkat
pada 1980an.
Keistimewaan
Long Pasia
Kampung Long Pasia kaya
dengan khazanah alam yang indah dan masih terpelihara dengan suasana udara yang
nyaman seperti berada dalam sebuah bilik besar berhawa dingin, kehijauan
tumbuh-tumbuhan sehingga saujana mata memandang, ditambah pula dengan layanan
ramah dari penduduk setempat yang tidak kering dengan senyuman menjadikan
kampung ini destinasi menarik untuk dikunjungi.
Sungai Long Pasia bukan
terkenal dengan keadaan airnya yang berwarna kekuningan tetapi keunikan suhu
airnya yang akan panas-suam semalaman sehingga pukul 6.00 pagi dan kemudian
akan menjadi sejuk apabila matahari mulai terbit. Ia seolah-olah ada sistem kawalan
suhu air secara semulajadi yang memberikan keunikan ajaib sungai tersebut.
Kampung ini menerima ramai
tetamu pada musim kemarau kerana walaupun pada musim kemarau, bukit-bukau di
sini sentiasa dipenuhi embun dan kabus bersuhu sejuk seperti di tanah tinggi
dengan panoramanya indah yang cukup boleh menambat hati pengunjung.
Ketika berkunjung ke Ulu
Padas di Kampung Long Pasia, pengunjung boleh memilih sama ada mahu menerokai
dan menjelajahi hutan belantara, atau menyusuri sungai yang penuh dengan lokasi
bersejarah.
Pengunjung pastinya akan
sentiasa ditemani oleh penduduk tempatan yang menjadi 'tour guide' mahupun
'boatman' terlatih kepada sesiapa yang ingin menerokai sungai-sungai di Kampung
Long Pasia.
Penduduk Long Pasia juga
adalah orang yang kreatif dengan membina 'Rumah Korea' iaitu sebuah rumah
ala-perubatan yang 'sejuk' dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan
'elergic'.
Rumah ini dibina selepas
kunjungan seorang Faster dari Korea yang mengunjungi kampung itu di mana lima
orang penduduk kampung termasuk Pengerusi JKKK Lukas Usim dipilih menyertai
kursus selama dua minggu di negara bermusim itu pada April tahun lepas.
Lukas, 49, berkata mereka
mempelajari teknik membuat batu-bata dan simen konkrit daripada tanah liat yang
boleh membuatkan rumah itu tahan selama ribuan tahun.
"Kini, rumah ini 100
peratus daripada tanah sudah hampir siap hasil tangan 30 hingga 60 penduduk
kampung sejak dibina Mac lepas. Ia akan digunakan sebagai dewan masyarakat
untuk penduduk di sini," katanya.
Long Pasia, destinasi sesuai
bagi mereka yang mahu melarikan diri dari segala hiruk-piruk kota dan kesibukan
tugas dan berehat dengan tenang. (Bernama)
i wish i can go there one day..
ReplyDelete