PUTRAJAYA : Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion telah
dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif yang dilancarkan oleh Unit
Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Perdana Menteri berkata
inisiatif yang dilancarkan Teraju, yang ditubuhkan Februari lepas, berpandukan
kepada hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan
sebelum ini.
Antara inisiatif yang
menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang secara 'carve
out' kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terlibat dalam projek Transit
Pantas Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.
"Sehingga ini, 47
peratus daripada jumlah pakej, ditawarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera,
iaitu melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan," katanya pada sidang
media di sini selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-tiga Majlis Tindakan Agenda
Bumiputera (MTAB) di sini.
Najib berkata, mengikut
unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3
bilion, yang menyaksikan jumlahnya melangkaui sasaran RM8.5 bilion.
Menurutnya, kerajaan berpuas
hati dengan jumlah itu, bukan sahaja dari segi jumlah besar yang berjaya
diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat-syarikat berkenaan yang
dibuat dengan cara yang begitu telus, berdasarkan kepada syarikat-syarikat
Bumiputera yang terbaik dari kalangan syarikat Bumiputera.
"Proses ini dilakukan
berdasarkan kepada merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat
melainkan berdasarkan kepada kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat
tersebut," katanya.
Sementara itu, Najib berkata
mesyuarat MTAB hari ini juga meluluskan 20 buah lagi syarikat yang layak untuk
program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), yang merupakan satu
lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.
"Melalui inisiatif ini,
kita dapati bahawa jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan
perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini bererti syarikat-syarikat Teras ini
mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja-kerja
dari sektor awam," katanya.
Perdana Menteri seterusnya
mengumumkan keputusan mesyuarat melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan
Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana
RM930 juta yang belum digunakan lagi oleh syarikat-syarikat Bumiputera akan
diperuntukkan sehingga 31 Disember, 2013.
Walau pun skim jaminan iitu
pada mulanya hanya diperuntukan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS),
namun kini, katanya syarikat-syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar
daripada itu juga, layak untuk menyertai skim tersebut.
"Saya dan anggota
majlis yakin inisiatif yang diperkenalkan ini akan memberi peluang yang lebih
meluas kepada syarikat-syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar
pada masa akan datang," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment