KUALA LUMPUR : Setiausaha
Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ekmeleddin Ihsanoglu mengutus sepucuk
surat kepada Presiden Myanmar Thein Sein untuk menggesa beliau mengambil berat
nasib buruk yang menimpa masyarakat Islam Rohingya, sejajar dengan standard hak
asasi manusia antarabangsa.
Ihsanoglu meminta presiden
itu memberi jaminan tentang keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat
Rohingya sebagai warganegara Myanmar dan menghentikan semua bentuk ugutan serta
penindasan terhadap mereka.
Pertubuhan 57 negara anggota
itu dalam kenyataannya berkata Ihsanoglu juga menggesa Presiden Thein menyiasat
kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam Rohingya sejak 3 Jun, 2012
dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.
Beliau memberi jaminan
kepada presiden itu bahawa OIC bersedia bekerjasama dengan Myanmar dalam urusan
penghantaran pulang anggota masyarakat minoriti Islam itu ke kampung halaman
mereka dan membantu memulihkan suasana aman dan meyakinkan di kawasan terbabit.
Ihsanoglu juga mengutus
surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay untuk menggesa mereka
menggunakan pengaruh masing-masing dalam mencari penyelesaian segera terhadap
isu berkenaan, kata kenyataan itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment