CUBA pembaca bayangkan
seorang bayi yang baru berusia dua minggu, yang masih lembut tubuhnya dihayun
ke kiri dan kanan oleh seorang dewasa mengelilingi kepala serta diperlakukan
seolah-olah seperti peralatan senaman harian. Menakutkan?
Begitulah ‘Yoga Bayi’ yang
dipraktikkan oleh seorang pakar terapi dari Rusia, Lena Fokina, 51, terhadap
seorang bayi yang menjadi ‘mangsa’nya dan aksi-aksi ‘akrobatik’ tersebut jelas
membimbangkan ramai pihak, khususnya para ibubapa.
Menurut Lena, terapi itu
asalnya diamalkan oleh puak-puak Afrika purba yang kemudiaannya dipermodenkan
oleh seorang pakar, Dr. Igor Charkovsky, dan dilakukan terhadap bayi yang
berusia beberapa minggu hingga umurnya mencecah dua tahun.
Wanita Rusia itu juga
menjelaskan bahawa teknik itu sangat membantu tumbesaran bayi dan menegaskan
bahawa tindakannya itu tidak salah dari sudut kemanusiaan sama sekali.
“Kaedah ini pada asalnya
dibangunkan untuk menyembuh dan membetulkan kesihatan bayi yang mempunyai
masalah otot atau tulang, namun ia juga sesuai untuk kanak-kanak yang sihat.
“Pergerakan ini direka untuk
meningkatkan keupayaan otot dan pembangunan mereka.
“Dan sebenarnya bayi mampu
membaca, menyanyi, bercakap, berenang sejak dilahirkan. Ia (yoga bayi) juga
membuat tangan mereka yang lebih kukuh. Kami berperi kemanusiaan dan tidak
berbuat apa-apa kesalahan pun,” katanya yang dipetik dari laman
Dailymail.uk.com.
Meskipun menyedari ramai
pihak yang marah melihat perlakuannya terhadap bayi yang menjalani terapi yoga
bayi itu, Lena menegaskan bahawa tubuh badan bayi yang masih lembut itu mampu
menyesuaikan diri dengan kaedah itu.
“Tubuh badan bayi yang kecil
yang boleh menyesuaikan diri dengan proses mudah jika diamalkan secara
beransur-ansur.
“Bayi itu akan selamat (dari
sebarang kecederaan) sekiranya ibubapanya atau pengamalnya mempelajari,
memahami dan menggunakan cara yang diajar oleh Dr. Charkovsky.
“Kebanyakkan orang rasa
marah melihatnya (cara terapi yoga bayi) kerana mereka tidak sedar mengenai
keupayaan sebenar bayi sedangkan sebenarnya kebolehan bayi-bayi ini lebih luas
dari yang difikirkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, hujah Lena dan
Dr. Charkovsky ini telah mencetus kontroversi dari ramai pakar-pakar perubatan
moden yang membantah terapi ‘kejam’ itu.
Ada di antara pakar-pakar
itu yang berpendapat bahawa terapi itu mampu menyebabkan gegaran otak dan
mengakibatkan kecacatan mental bayi.
Lena menyifatkan kritikan
negatif yang diterimanya itu sebagai jahil dan melalui pengalaman selama 30
tahun mempraktikkan yoga bayi, belum ada lagi bayi yang berakhir dengan
kecacatan mental mahupun fizikal.
“Pertama kali saya mencuba
yoga bayi ialah pada 30 tahun lalu terhadap anak perempuan sulung saya,
Alexandra. Pada mulanya saya bimbang, tetapi kemudian saya menyedari bagaimana
anak-anak saya gembira menikmatinya dan ia begitu memberi inspirasi kepada
saya.
“Mereka yang mengkritik
kaedah ini adalah jahil. Jika mereka cuba untuk memahami apa yang kami lakukan,
mereka akan mengubah pemikiran (tanggapan) mereka.
Semua anak-anak saya telah
berkembang mengikut kaedah Charkovsky dan mereka semua telah mencapai keputusan
cemerlang dalam kehidupan. Anak-anak saya adalah juara Rusia dalam acara payung
terjun, terjun bebas dan menunggang kuda.
“Sekarang anak-anak saya
mengamalkan mereka kaedah-kaedah yang sama pada anak-anak mereka sendiri. Ia
adalah bukti yang terbaik,” katanya penuh yakin.
Berikut adalah aksi bayi
yoga yang dimaksudkan dan para pembaca diingatkan agar jangan melakukan
aksi-aksi sedemikian selagi tidak mempelajari dan mahir dengan kaedah yang
diperkenalkan Dr. Charkovsky tersebut.
No comments:
Post a Comment