SAKSI.....Azizah
diriringi Mohd Zikay (berdiri kiri) dan Aminuddin (berdiri kanan) menyaksikan
Wong (kanan) dan Anuar menandatangani MoU antara MDB dan Zikay Group (Sabah)
Sdn Bhd.
BEAUFORT: Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Klias, Datuk Azizah Mohd Dun berharap cadangan
mewujudkan satu bandar baru di sini dirancang secara teratur agar menjadi
sebuah bandar menepati keperluan semasa penduduk di sini.
“Apa yang lebih menarik, melalui
pembangunan ini nanti kita amat berharap akan dapat menjadi bandar yang lestari
dengan pembangunan dirancang secara teratur agar dapat memberi manfaat kepada
penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada
majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Majlis Daerah
Beaufort (MDB) dengan Zikay Group (Sabah) Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat MDB, di
sini kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Daerah
Beaufort merangkap pengerusi MDB, Wong Foo Tin; Pengarah Urusan Kumpulan Zikay,
Datuk Mohd Khay Ibrahim; Pengarah Eksekutif Kumpulan Zikay, Iszhar Ibrahim;
Pemimpin Kemajuan Rakyat Membakut, Aminuddin Yakop selaku wakil Adun Membakut
Mohd Ariffin Arif; Pegawai Eksekutif MDB, Kusnadi Munawir; Pengarah Urusan
Zikay Group (Sabah) Sdn Bhd, Anuar Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Zikay
Group (Sabah) Sdn Bhd, Joifin Mohd Dun.
Pada majlis itu, Azizah yang
juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna menyaksikan Wong
bagi pihak MDB dan Anuar dari Zikay Sabah menandatangani MoU itu.
Beliau berkata cadangan
pembangunan bandar baru itu merupakan satu perkembangan positif sejajar dengan
kepesatan pembangunan daerah Beaufort yang ada pada masa kini.
“Perubahan ini sekaligus
dapat menyumbang kepada perkembangan dan merancakkan kegiatan ekonomi di daerah
ini. Saya yakin akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk
di sini dan dengan adanya peluang-peluang seperti ini sudah tentu dapat
menghalang penghijrahan penduduk ke tempat lain,” katanya sambil menenkankan
keperluan rumah mampu milik perlu diberi perhatian.
“Dan kita juga berharap
rumah mampu milik yang sekian lama dinantikan penduduk juga akan dapat dibina
melalui pembangunan bandar ini kelak,” katanya.
Sementara itu Anuar dalam
taklimatnya berkata cadangan bandar baru itu akan dibina pada tanah berkeluasan
200 ekar di kawasan Selangon iaitu kira-kira lapan kilometer dari Pekan
Beaufort.
No comments:
Post a Comment