NIBONG TEBAL : Pertubuhan
Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan terus mempertahankan
kedaulatan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air daripada dirosakkan oleh
mana-mana pihak, kata Presidennya Jamaludin Yusof.
Beliau berkata sebagai
sebuah pertubuhan yang diwujudkan atas dasar Melayu dan Islam, sudah pasti
kedua-dua dasar berkenaan menjadi pegangan utama dan akan diperjuangkan sampai
bila-bila.
“Pekida mempunyai misi dan
visi tersendiri iaitu menegakkan Islam dan memastikan bangsa Melayu terus
menjadi tunjang negara. Kita akan terus mempertahankan agama, bangsa dan negara
walaupun terpaksa berjuang hingga ke titisan terakhir.
“Justeru kita sebagai
anggota (Pekida), kita mempunyai tugas yang berat untuk pastikan kestabilan
politik negara dikekalkan supaya negara akan terus aman dan damai,” katanya
semasa berucap pada Mesyuarat Agung Pekida Malaysia ke-18 yang dirasmikan Ketua
Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di sini hari ini.
Jamaludin berkata sehingga
kini keanggotaan Pekida sudah menjangkau kira-kira 300,000 orang dan jumlah itu
sangat penting dalam menguatkan pertubuhan itu dalam memperjuangkan matlamat
penubuhannya.
“Pekida mempunyai anggota
yang ramai dan kita sedang mencari formula bagaimana untuk menyatukan kesemua
anggota supaya perjuangan kita mencapai matlamatnya.
“Kita tidak mahu satu hari
nanti kita terpaksa menangis di belakang pintu disebabkan oleh kegagalan kita
untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara kita sendiri,” katanya.
Jamaludin turut menyeru
semua anggota pertubuhan itu agar terus menyokong kerajaan sedia ada yang sudah
terbukti banyak membantu membangunkan syiar Islam selain mempertahankan
keistimewaan orang Melayu sejak negara merdeka hingga kini.
“Hanya kerajaan yang ada
sekarang ini akan terus memberikan kemakmuran, kesejahteraan dan kebajikan
kepada rakyat. Jadi, saya minta semua anggota Pekida agar terus menyokong
kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ini agar semua yang
diperoleh sekarang ini berterusan untuk anak cucu kita,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment