Wednesday, 26 December 2012

KETEPATAN HAUL ZAKAT






Oleh : MUHAMMAD FAKHRURRAZY MD. ARIFF

TEMPOH simpanan atau tabungan, menurut istilah hukum Islam dinamakan haul. Haul merupakan satu tempoh 12 bulan qamariyah dalam tahun Hijri. Kewajipan haji, puasa, Aidilfitri dan Aidiladha juga difardukan mengikut kiraan bulan qamariyah, iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Dalam ibadah zakat, haul ialah tempoh harta perlu disimpan sebelum ditunaikan zakatnya, iaitu 12 bulan mengikut kalendar Hijrah. Haul sesuatu harta bermula dari tarikh harta itu dimiliki. Untuk tujuan itu, seseorang Muslim bebas menentukan bilakah haul bagi dirinya berzakat.

Seandainya kita sudah biasa menunaikan zakat pada awal tahun Hijrah iaitu bulan Muharam, maka apabila tiba Muharam tahun hadapan, detik itulah menandakan genaplah sudah setahun dan beliau wajib berzakat.

Jika kita meninjau suasana di pusat-pusat zakat seluruh negara pada bulan Ramadan nescaya kita akan dapati 'kemeriahan' yang agak luar biasa dari bulan-bulan lain. Pemilihan Ramadan sebagai bulan untuk berzakat adalah amat digalakkan, memandangkan ia adalah bulan yang mengandungi pelbagai kelebihan dengan ganjaran pahala.

Tambahan pula, ia memudahkan seseorang untuk mengingati haul zakatnya. Setibanya bulan Ramadan, maka perhatiannya secara automatik akan teringat kepada ibadah zakat, apatah lagi kefarduan zakat fitrah juga terkandung dalamnya. Sebab itu jugalah kita digalakkan memilih Ramadan sebagai haul zakat.

Oleh itu, kita amat dianjurkan agar kembali menggunakan kalendar Hijri, khususnya di dalam mengingati haul zakat. Ia bukan semata-mata dapat memastikan zakat kita lebih tepat haulnya, malah akan mendapat pahala kerana mengamalkan sunnah Rasul dengan mengutamakan tahun Islam di dalam kehidupan.

Di Malaysia, adalah menjadi lumrah suasana para pembayar cukai datang bersesak-sesak untuk menjelaskan zakat mereka pada setiap penghujung tahun, khususnya menjelang 31 Disember.

Rebat

Ini merupakan senario biasa di pihak berkuasa zakat sejak sekian lama. Ini kerana peruntukkan Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membenarkan seseorang Muslim yang membayar zakat memperoleh rebat cukai iaitu tolakan sepenuhnya daripada cukai kena bayar.

Rebat ini adalah bersifat semasa dan dipotong daripada tanggungan cukai berdasarkan kepada tahun bayaran zakat tersebut dibuat. Sebagai contoh, bayaran zakat individu untuk haul 2011 yang dibayar pada tahun 2012, akan melayakkan rebat cukai untuk tahun 2012.

Ringkasnya, haul zakat individu tidak membawa apa-apa implikasi cukai. Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 jelas menyatakan perkara ini. Secara mudahnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya melihat kepada 'bilakah' zakat itu dibayar dan bukannya zakat itu dibayar untuk tahun haul 'bila'.

Oleh itu, bolehlah diyakini bahawa kesibukan dan kesesakan masyarakat membayar zakat sebelum 31 Disember setiap tahun adalah berpunca daripada implikasi rebat cukai dan tiada kaitan dengan hukum haul zakat. Kecualilah jika seseorang Muslim itu meletakkan tarikh 31 Disember sebagai tarikh cukup haul zakat.

Berkenaan rebat cukai ini perlu difahami dan dihayati, ikhlas semata-mata kerana Allah SWT apabila membayar zakat, tidaklah menghalang kita daripada mengambil manfaat rebat cukai yang disediakan. Namun setiap pembayar zakat perlu sentiasa jelas bahawa kita membayar zakat kerana ia kewajipan agama dan bukan semata-mata mahu mengambil kesempatan atas rebat cukai.

Oleh kerana zakat adalah kewajipan agama, maka amaun zakat minimum yang hendak dibayar hendaklah ditentukan secara syar'ie iaitu melihat kepada syarat haul, nisab, milik sempurna dan lain-lain. Pun begitu, sekiranya seseorang itu mahu membayar zakat melebihi amaun yang diwajibkan maka perbuatan tersebut adalah diharuskan. (UM)

No comments:

Post a Comment