KUALA LUMPUR : Calon Barisan
Nasional (BN) yang melalui proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan merupakan kaedah tepat untuk pilih calon
bersih di samping memberi imej lebih baik kepada parti.
Pemimpin parti, pemerhati
dan penganalisis politik berpendapat langkah itu akan dapat membantu BN mencari
calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan parti.
Pemerhati politik, Prof
Datuk Dr Zainal Kling berkata kaedah itu akan membantu Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membuat pilihan tepat dengan memilih
calon yang bersih daripada sebarang tuduhan dan sangkaan negatif.
“Rekod yang baik perlu ada sebagai
ciri-ciri seorang calon 'winnable candidate' bagi memenuhi janji Najib mencari
calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan BN,” kata Ketua Kluster
Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) itu kepada
Bernama.
Baru-baru ini, Pengerusi
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar mencadangkan
agar kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon mereka kepada
SPRM terlebih dahulu untuk ditapis bagi memastikan mereka 'bersih' selain mengelak
sebarang tohmahan.
“Tapisan SPRM ini sebagai
langkah awal membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan amat teliti dalam
memilih calon yang akan membela rakyat selain memberi jaminan bahawa calon yang
dipilih sememangnya boleh diharap,” kata Dr Zainal. Beliau berkata BN perlu
meletakkan syarat yang tinggi bagi seseorang calon untuk mengembalikan
keyakinan rakyat kepada Umno dan BN untuk terus memerintah negara ini.
Penganalisis politik Prof
Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata calon yang melepasi tapisan SPRM akan
memberikan gambaran positif kepada rakyat.
Langkah itu bertepatan
kerana semua orang akan cuba menonjolkan diri untuk menjadi 'calon boleh
menang' tetapi apabila keputusan tapisan dikeluarkan SPRM, mereka perlu akur,
kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan
Malaysia itu.
Bagaimanapun, beliau yakin
kebanyakan calon sememangnya layak tetapi tapisan itu akan menonjolkan lagi
kredibiliti seseorang calon yang dipilih.
Umno dan BN katanya
memerlukan calon boleh menang serta layak untuk terus berjuang setelah pemimpin
terdahulu berjaya mencapai kemajuan sejak merdeka hasil kebijaksanaan mereka
mentadbir negara untuk kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Ketua Puteri
Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata proses tapisan itu dapat
membuktikan bahawa seseorang calon benar-benar telus dan layak untuk
bertanding.
“Ia adalah satu langkah yang
baik agar dapat mengelak masalah lebih besar serta menyusahkan rakyat jika
calon tersebut bermasalah dan terbabit rasuah selepas pilihan raya
berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.
Rosnah berkata penapisan
berkenaan juga akan menambah lagi keyakinan rakyat terhadap calon tersebut.
Di KUCHING, Anggota Parlimen
Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim berkata proses tapisan itu akan membantu
menaikkan imej BN.
“Kita tidak mahu calon yang
mempunyai perlakuan tersembunyi,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment