Monday 31 December 2012

KRT SEMARAK KOMUNITI BESTARI






KENANGAN...Gambar kenangan  barisan AJK Rukun Tetangga Kg Bokara.

Oleh : SAIMON S JUMADI

RUKUN  Tetangga (KRT) perlu memberikan komitmen tinggi terhadap setiap aktiviti mahu pun program tahunan yang dilaksanakan kerana selain memupuk semangat perpaduan di kalangan kejiranan tetapi ia juga merupakan mata dan telinga kepada pihak kerajaan.

Tambahan lagi kerajaan sentiasa memberikan sokongan dengan memperluaskan lagi bidang tugas sekali gus membuktikan bahawa peranan KRT tidak boleh dinafikan terutama dalam arus pemodenan negara.

Pengerusi Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bokara  Sandakan  Hajjah Rukiah @ Annang Hj Damsal berkata, keistimewaan menjadi Ahli Jawatankuasa KRT apabila setiap ahli dididik agar menyemai nilai-nilai murni selari dengan matlamat kerajaan yang memperkenalkan Gagasan 1Malaysia.

Katanya, sebab itu ahli-ahli KRT dituntut bergiat aktif dan tidak hanya duduk diam memandangkan apa jua program menjurus kepada perpaduan masyarakat majmuk tanpa mengira agama, bangsa atau pun fahaman masing-masing.

"Misi KRT sekarang sangat meluas selain usahanya memupuk perpaduan tetapi turut berperanan dalam soal keselamatan penduduk setempat menerusi Skim Rondaan Sukarela atau SRS.

"Oleh sebab itu, kita wajar bersyukur kerana negara mempunyai sebuah organisasi seperti KRT yang menikberatkan semua aspek ini. Sebagai ahli jawatankuasanya pula, kita mesti berbangga kerana menjadi ahli kepada persatuan yang berperanan dalam menyemarakkan komuniti.

"Saya selalu mengingatkan kepada ahli-ahli KRT di Kampung Bokara ini agar bergiat aktif dalam setiap aktiviti samada ia dibuat di kampung mahu pun sehingga ke luar daerah. Komitmen seperti ini amat penting mampu mewujudkan kerjasama yang lebih baik dan seterusnya menyuntik semangat perpaduan di antara satu sama lain," jelasnya di sini, kelmarin.

Rukiah berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas lawatan kerja KRT Kg Bokara terhadap Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Nurul Akmalina Hj Shamsuddin di pejabat beliau di bandaraya Kota Kinabalu pada minggu lepas.

Katanya, lawatan itu penting bukan sahaja merapatkan silaturrahim antara pihaknya dengan JPNIN tetapi memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan Nurul Akmalina berhubung program jabatan dan KRT di masa-masa akan datang.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Nurul Akmalina yang mengalu-alukan lawatan kami tempoh hari. Lawatan itu sungguh bermakna kerana merapatkan lagi kerjasama yang lebih erat selain dapat bertukar-tukar pandangan bersama beliau," tambahnya.

No comments:

Post a Comment