PENGHARGAAN....Armani
menerima cenderamata kenang-kenangan daripada pihak penganjur.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
KETUA Pergerakan Wanita UMNO
Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin berkata, meraikan golongan istimewa adalah
satu usaha sangat terpuji kerana ia menepati kehendak Illahi seperti mana
terkandung dalam kitab suci al-Quran; yang mengajak ummah agar sentiasa
membantu orang yang lemah dan susah.
Katanya, usaha sebegini
turut ditekankan pihak kerajaan yang mahu semua pihak sentiasa
mendampingi golongan berkenaan ke arah melahirkan masyarakat penyayang.
Katanya lagi, tidak salah
bagi mereka yang mempunyai kelebihan harta atau apa sahaja yang boleh
disumbangkan kerana sesuatu bantuan besar maknanya; sekali gus menggembirakan
golongan seumpama ini.
"Kasih sayang adalah
fitrah semulajadi. Ia ibarat bunga dan disukai semua orang. Oleh kerana ia
fitrah, tiada orang yang tidak suka kepada kasih sayang. Bererti siapa yang
datang membawa kasih sayang, tidak ada orang yang akan menolak atau tidak mahu
menerimanya.
"Bayangkan, dengan
memberikan senyuman sahaja, banyak hati-hati yang seronok. Inikan pula kita
datang memberikan bantuan dan sokongan bagi mencukupkan keperluan orang yang
memerlukan," katanya.
Armani berucap
menyempurnakan perasmian Majlis Makan Malam Amal Pertubuhan Amal Cahaya Kasih
di Dewan Serbaguna SM Yu Yuan, di sini, baru-baru ini.
Majlis pada itu bertemakan
'Sayangi Kesayangan Allah dan Rasul'.
Pertubuhan Amal Cahaya Kasih
Sabah (PACK) adalah pusat jagaan atau rumah amal yang menaungi anak yatim,
fakir miskin, muallaf dan asnaf zakat yang telah ditubuhkan pada awal tahun
2008.
PACK menaungi tiga buah
rumah amal yang terletak di Ranau, Sandakan dan Tawau. PACK menempatkan seramai
60 orang anak-anak pelajar di peringkat sekolah rendah dan remaja dengan
kakitangan 20 orang yang terdiri daripada yang bekerja secara sukarela terdiri
kalangan warder, guru-guru, petugas pentadbiran, tukang masak dan pemandu.
PACK ditubuhkan bukanlah
atas matlamat komersil, tetapi merupakan wadah kebajikan yang menjadi milik
bersama masyarakat; di mana setiap anggota masyarakat yang terdiri dari
pemimpin, golongan profesional, golongan korporat, golongan teknorat, alim
ulama dan seluruh anggota masyarakat diajak bersama membantu dalam usaha
memastikan objektifnya tercapai.
Majlis makan malam turut
dihadiri oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd
Hamsan Awang Supain dan Pengerusi Pelaksana Program itu, Syeikh Abdul Haris
Paijo.
Dalam pada itu, Armani yang
juga Ketua Wanita Umno Bahagian Libaran berharap program amal seumpama ini
mendapat kerjasama dari pelbagai pihak kerana ia sangat penting dalam
mewujudkan masyarakat penyayang.
Katanya, kerajaan sentiasa
komited untuk membantu golongan susah dan memerlukan sejajar dengan matlamatnya
mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman makmur lagi dirahmati Tuhan
Yang Esa.
No comments:
Post a Comment