Tuesday, 6 January 2015

PM diserang kuman E coli

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terkena jangkitan bakteria e-coli semasa lawatan ke kawasan banjir sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Twitter rasmi sebentar tadi.

“Doktor nasihat supaya berehat. Beliau akan kembali bertugas secepat mungkin,” menurut tweet itu.

Najib baru pulang daripada lawatan kerja di Bangkok.

E coli boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam danpenyahhidratan yang boleh membawa maut.

Walaupun belum sihat, perdana menteri berjanji akan terus memantau keadaan banjir di seluruh negara.

“Saya akan terus memantau operasi bantuan banjir dari rumah,” tulisnya di Twitter sebentar tadi.

Tweet beliau mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata berharap kepimpinan utama negara itu cepat sembuh.

Acara pagi diganti TPM

Perdana menteri sepatutnya melepaskan konvoi bantuan banjir sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pagi tadi.

Bagaimanapun, ekoran masalah kesihatan itu, tempatnya digantikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib sebelum ini terpaksa pulang awal daripada cuti selepas banjir besar melanda beberapa tempat di semenanjung Malaysia, terutamanya Kelantan.

Beliau juga dikritik hebat selepas gambarnya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika bencana melanda Malaysia didedahkan media.(Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment