Wednesday 12 December 2012

SIAPA SONGLAP KUOTA DIESEL BERSUBSIDI BELURAN?






HEBAT….Jaini Ating (kiri) yang dikhuatiri melesapkan kuota minyak diesel bersubsidi yang dikhaskan kepada nelayan Beluran.


Oleh : ROBERT TONGGIOK

PERSATUAN Nelayan Kawasan (PNK) Beluran diminta memberi penjelasan berhubung pengagehan sebenar 200,000 liter minyak diesel bersubsidi setiap bulan kepada nelayan Beluran kerana hanya 50 kapal nelayan menerima minyak diesel bersubsidi itu.

Dengan jumlah 50 bot nelayan yang menggunakan diesel di Beluran, tidak mungkin boleh menghabiskan 200,000 liter yang diperuntukkan kepada PNK Beluran.

Seorang nelayan di Pulau Jambongan, Bitting Muniran berkata beliau agak hairan kerana ada kalanya minyak yang diagehkan kepada kapal nelayan di Kampung Kolapis tidak mencukupi.

Katanya, PNK Beluran perlu memberi penjelasan kaedah pengagehan minyak diesel subsidi itu kerana sejak empat tahun lepas, sebanyak 200,000 liter minyak diesel subsidi diagehkan kepada kapal nelayan.

"Bagaimanapun, jumlah kapal nelayan yang menerima bekalan itu adalah sedikit dan ada kalanya mereka kurang menerima bekalan. Mungkin berlaku penyelewengan dalam pengagehan minyak diesel subsidi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Bitting yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tagal Kampung Hujung di Pulau Jambongan turut mempersoalkan pendaftaran ahli-ahli dalam PNK Beluran yang tidak telus kerana kebanyakan nelayan tradisional di Pulau Jambongan tidak didaftarkan sebagai ahli.

Katanya, keadaan ini menyebabkan mereka tidak menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan; termasuk elaun sara hidup nelayan dan minyak petrol serta diesel bersubsidi. 

Beliau berkata, ada di antara ahli PNK Beluran bukan nelayan sepenuh masa atau tidak lagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.

"Begitu juga Ahli Lembaga Pengarah PNK Beluran, mereka bukan nelayan sepenuh masa; sebaliknya memegang jawatan untuk mendapat keistimewaan termasuk menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan."

"Sedangkan kami, yang merupakan nelayan tradisional yang betul-betul memerlukan bantuan daripada kerajaan itu, tidak menerimanya disebabkan pendaftaran ahli dalam PNK Beluran dilakukan secara tidak telus," katanya.

Kata Bitting, penyelewengan yang dilakukan oleh Jaini Ating sebagai Pengerusi PNK Beluran tidak boleh dipandang ringan dan beliau mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung penipuan ini.

No comments:

Post a Comment