TELUPID: Ekoran keadaan
jalan raya yang diturap tidak seperti yang diharapkan, masyarakat kampung di
Kampung Melapi, Telupid yang kesal mengenai jalan itu, menyuarakan
ketidakpuashatian mereka.
Seorang penduduk, John
Lingka, 42 tahun berkata jalan itu yang dibuat oleh kontraktor dari luar
kira-kira lima bulan lalu itu kini telah diaspal lebih kurang sejauh 3
kilometer, namun katanya projek itu seperti dibuat secara ‘alang-alang’.
“Yang menghairankan kami,
kenapa jalan itu diaspal seperti ‘tahi ayam di atas tangga’ dan masih banyak
lagi kerosakan di sana-sini?,”.
Beliau yang mempunyai tiga
anak yang masih bersekolah memberitahu, kira-kira dua batu lagi jaraknya jalan
di kampung itu yang belum diturap.
“Adakah peruntukan untuk
membaiki jalan itu hanya setakat di situ sahaja? Jika tidak, di mana perginya
peruntukan yang lain itu?,” soal beliau tegas.
Ditanya mengenai masalah
yang timbul akibat jalan berlubang seperti kubang kerbau dan becak ketika musim
itu, paling ketara adalah masalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Beliau kemudiannya
mempersoalkan keadaan itu dengan mengungkit kembali slogan ‘rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan’ dan ‘janji ditepati’ sedangkan rata-rata mereka di situ
majoritinya merupakan pengundi Barisan Nasional (BN).
“Jika masalah ini tidak
diselesaikan segera, kemungkinan besar masyarakat di sini akan berubah hala
kepada pihak pembangkang!,” tegas beliau lagi.
Justeru, mereka berharap
dengan penyebaran perkara itu kepada pihak media, kerajaan sekarang ini dapat
menyelesaikan masalah itu kerana kerosakan pada jalan raya tersebut amat
menyukarkan mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Kalau boleh pihak berkaitan
terutamanya Wakil Rakyat di sini juga dapat memantau keadaan jalan kami supaya
ada tindakan lanjut.
Menurut sumber daripada John
sendiri, kampung itu mempunyai kira-kira 100 penduduk.
No comments:
Post a Comment