Saturday 23 February 2013

KAD PENGENALAN HANYA UNTUK KEWANGAN






KOTA KINABALU : Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu bahawa keuntungan wang ringgit merupakan satu-satunya motif di sebalik pengeluaran kad pengenalan (KP) kepada pendatang di Sabah oleh beberapa individu dan ejen.

Superintenden Ahmad Fauzan Mohamad, seorang pegawai cawangan khas di Kuala Lumpur, berkata tidak terdapat motif lain di sebalik pengeluaran KP oleh sindiket berkenaan, melainkan untuk mendapatkan wang.

"Mereka (pendatang) dikenakan bayaran RM50 hingga RM1,400 bagi setiap KP yang dikeluarkan kepada mereka. Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan dengan politik, melainkan hanya untuk mendapatkan keuntungan wang ringgit. Pengeluaran KP di Sabah menghasilkan wang.

"Kegiatan itu (pengeluaran KP) dirancang dengan teliti dan saya dapati selain pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), orang awam juga terlibat sebagai ejen dan sub ejen," katanya ketika menjawab soalan pegawai siasatan Manoj Kurup.

Ahmad Fauzan, yang kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Sindiket Pemerdagangan Manusia di Polis Cawangan Khas Kuala Lumpur, berkata berdasarkan maklumat risikan yang ditelitinya, sindiket berkenaan memperoleh lebih RM11 juta melalui kegiatan pengeluaran KP itu.

Walaupun ditanya berkali-kali, saksi itu berkata beliau berpuas hati bahawa penilaiannya mengenai maklumat risikan tentang sindiket KP ketika itu ialah ia bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Kata Ahmd Fauzan, beliau ditugaskan membuat penilaian terhadap maklumat risikan mengenai sindiket KP Sabah di Bukit Aman (Ibu Pejabat Polis Persekutuan) dari akhir 1995 hingga Februari 2010.

Saksi ke-56 itu berkata sejumlah 94 individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) antara 1995 hingga 2001.

Katanya jumlah itu termasuk pegawai JPN, penjawat awam lain serta individu dan mereka ditahan mengikut ISA kerana mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata kegiatan itu bukan saja mengancam keselamatan negara, tetapi juga kestabilan politik, sosial dan ekonomi Malaysia.

Kata saksi itu lagi, daripada jumlah mereka yang ditahan mengikut ISA, 80 dikenakan tahanan selama dua tahun, enam dikenakan perintah kediaman terhad dan lapan dibebas tanpa syarat.

Ditanya siapakah yang memandatangani perintah tahanan itu, Ahmad Fauzan berkata ia ditandatangani timbalan menteri dalam negeri ketika itu.

Ditanya kenapa tidak seorang pun daripada mereka yang ditahan mengikut ISA itu tidak dihadapkan ke mahkamah setelah dibebaskan, beliau berkata ia merupakan amalan biasa bagi semua kes ISA.

Ahmad Fauzan bagaimanapun berkata kira-kira 3,035 orang yang memiliki KP palsu dihadapkan ke mahkamah. (Bernama)

No comments:

Post a Comment