KUALA LUMPUR : Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang amat
dinanti-nantikan, paling menarik dan mendebarkan dalam sejarah negara.
Spekulasi berhubung tarikh
pilihan raya menjadi teka-teki selama hampir setahun. Pilihan bagi tarikh
mengadakan pilihan raya semakin pendek. Dijangkakan PRU-13 akan diadakan pada
14 atau 21 April 2013.
Terdapat tiga kemungkinan
keputusan pada pilihan raya akan datang:
Senario 1 : Status quo
semasa kekal
Senario 2 : Majoriti yang
berkurangan bagi BN
Senario 3 : BN memperoleh
semula majoriti dua pertiga.
Terdapat 222 kerusi parlimen
di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah kerusi
Melayu/Bumiputera, 30 kerusi campuran dan 42 kerusi majoriti Cina.
Pada pilihan raya 2004, BN
memenangi 140 kerusi dan Pembangkang pula menang 82 kerusi. Huraian selanjutnya
menunjukkan Umno memenangi 79 kerusi, MCA 15 kerusi, MIC 3 dan Gerakan 2, PKR
31, DAP 28 dan PAS 23 kerusi.
Daripada analisis kami,
semakin jelas bahawa sebahagian besar penduduk luar bandar telahpun beralih
semula kepada BN, khususnya kaum Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya kembali
semula ke pangkuan Umno.
Dalam hubungan ini, Umno
dijangka memenangi lebih banyak kerusi berbanding pada 2008. Umno
berkemungkinan menang 85 hingga 90 kerusi parlimen, iaitu satu peningkatan
berbanding 79 kerusi sedia ada.
Turut menjadi trend yang
jelas ialah pengundi India di kawasan luar bandar dan separa bandar beralih
semula kepada BN. Bagaimanapun, sebahagian besar pengundi bandar masih bersama
Pembangkang.
Sungguhpun pengundi Melayu
di bandar mungkin menyokong Pakatan dan malah jika lebih ramai kaum Melayu di
bandar menyokong Pakatan bagi kerusi bandar, ini tidak akan meningkatkan jumlah
kerusi bagi Pakatan memandangkan kerusi bandar terbabit telahpun dimenangi DAP.
Bagaimanapun pengundi bandar
masih tetap menyokong Pembangkang. Masyarakat Cina bandar menyokong kuat DAP.
Kira-kira 85 peratus
masyarakat Cina bandar mungkin mengundi DAP. Ini akan meningkatkan jumlah
kerusi yang dimenangi DAP kepada 35-40 kerusi, meningkat daripada 28 kerusi
yang dimenangi DAP pada 2008, menjadikan DAP parti pembangkang terbesar dalam
Pakatan.
Harapan perdana menteri
ialah pelbagai program mendekati rakyat yang beliau laksanakan terhadap kaum
Cina akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina atas pagar namun ia
masih merupakan cabaran yang besar. Sebahagian besar masyarakat Cina nampaknya
telahpun membuat keputusan mereka.
Sesetengah kaum Cina yang
telahpun berusia dan kalangan ahli perniagaan Cina mungkin mahu memberi peluang
kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka menghargai keamanan, kestabilan serta
kemakmuran dan menyukai cara Datuk Seri Najib mendampingi rakyat, misalnya
kehadiran beliau pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dong Zong.
Dalam rundingan meja bulat
dan kajian yang dijalankan baru-baru ini berhubung perkara yang menjadi
kebimbangan kaum Cina anjuran Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian
Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), isu utama yang dikenal pasti sebagai
membimbangkan kaum Cina adalah jenayah dan rasuah, pendidikan, kos sara hidup,
keadilan dan kesaksamaan, isu kebudayaan dan agama, kekurangan penyertaan dalam
perkhidmatan awam dan kurang meritokrasi.
Ini menimbulkan kekecewaan
dalam kalangan pengundi Cina.
Bagaimanapun jika sokongan
semula pengundi Melayu dan India kepada Umno/BN adalah kuat, ini akan membantu
MCA dan Gerakan dalam mengalih undi Melayu dan India kepada calon MCA dan
Gerakan bagi kerusi campuran di mana pengundi Melayu terdiri daripada lebih 40
peratus dan pengundi India adalah antara 10-15 peratus di kawasan pilihan raya,
misalnya Padang Serai dan Gopeng.
Ramai pengundi atas pagar
mengharapkan untuk melihat siapakah calon yang diketengahkan oleh parti dan
cara kempen dijalankan. Sebarang kesilapan akan membawa padah semasa tempoh
berkempen.
Kempen boleh menjadi kotor
apabila banyak serangan peribadi dan tuduhan yang dilontar kedua-dua pihak.
Kejutan juga boleh berlaku semasa berkempen.
Datuk Seri Najib akan
berkempen dari landasan yang kukuh. Populariti, personaliti dan kerja kuat
serta ketabahannya akan memberi beliau banyak sokongan. Apa yang nyata, beliau
lebih popular daripada partinya.
Rekod pencapaian Najib yang
dibuktikan menerusi program transformasi dan pencapaian ekonomi dengan mencatat
pertumbuhan 6.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku keempat 2012
meletakkan beliau dan kerajaan BN dalam kedudukan yang baik.
Sebaliknya, terdapat
perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengundi bandar berhubung
penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan rasuah.
Di Sarawak, Ketua Menteri
Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan memberi kemenangan 100 peratus kerusi PBB yang
dipimpinnya kepada BN dan seterusnya menjamin kemenangan majoriti di Sarawak.
Bagaimanapun PRS dan SPDP mungkin kehilangan beberapa kerusi Dayak kepada PKR.
SUPP akan berdepan cabaran
getir daripada DAP dan mungkin kehilangan semua kerusi majoriti Cina kepada DAP
tetapi memenangi semula Sibu dengan calon baharu yang lebih kuat serta
mengekalkan kerusi majoriti Dayak yang disandang Timbalan Presidennya Datuk
Richard Riot, sekali gus memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen.
Di Sabah, Umno Sabah mampu
melakar pencapaian yang baik dan memimpin BN untuk menguasai semula pentadbiran
kerajaan negeri. DAP akan menang beberapa lagi kerusi majoriti Cina.
Di Semenanjung Malaysia,
kerusi MCA yang akan menjadi rebutan hebat ialah Gelang Patah, Kulai dan Tajung
Piai di Johor dan Lumut di Perak. Kawasan-kawasan ini boleh ditembusi.
Sebaliknya, MCA mempunyai
peluang cerah memenangi kembali Padang Serai, Gopeng dan Selayang jika sokongan
kuat Melayu dan India kembali ke BN.
Di pertandingan peringkat
negeri, Pakatan seharusnya kekal menguasai Kelantan dan Pulau Pinang tetapi
menghadapi cabaran kuat daripada BN.
Di Pulau Pinang, jika undi
Melayu kukuh, Umno mungkin memenangi 17 kerusi Melayu dan jika MCA dan Gerakan
boleh memenangi empat kerusi saja lagi, BN akan menang tipis dan menguasai
semula Pulau Pinang.
Persaingan di Selangor
paling sengit dan 50:50 bagi salah satu pihak untuk menang. BN seharusnya
memenangi Kedah dan Perak dengan sokongan Melayu berbalik kepada Umno.
Ini dapat membantu Umno
menguasai kembali kerusi negeri daripada tangan PKR dan PAS di Perak walaupun
DAP berkemungkinan terus mengekalkan semua kerusi majoriti Cina di negeri itu.
Dalam perhitungan terakhir,
BN akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13. Apa yang tidak pasti hanyalah jumlah
majoriti.
Daripada analisis kami, BN
dijangka memenangi antara 123 dan 135 kerusi. Ini keputusan yang paling
mungkin.
Namun, jika sokongan semula
Melayu dan India kepada BN begitu kukuh dan Najib dapat menarik kembali lebih
banyak pengundi Cina atas pagar, BN boleh memenangi hingga 150 kerusi, yang
akan mengembalikan majoriti dua pertiga BN.
Keputusan ini merupakan
cabaran berat.
Senario ketiga ialah BN
mengekalkan jumlah kerusi yang kira-kira sama sekitar 140, yang dimenanginya
pada 2008.
Apapun, yang agak pasti
ialah dua pemenang besar dalam pilihan raya umum kali ini ialah Umno dan DAP.
Satu lagi yang penting untuk
diambil kira ialah bentuk kerajaan pasca PRU-13.
Apakah akan wujud penjajaran
politik baharu? Apakah Umno akan berusaha mengadakan gabungan baharu dengan PAS
demi perpaduan Melayu dan Islam dan bagaimana ini akan memberi impak kepada
bukan Melayu dan bukan Islam?.
Apakah dua pemenang besar
pilihan raya ini, Umno dan DAP akan mengusahakan penjajaran politik baharu?.
Tidak ada yang tidak mungkin
selepas Pilihan Raya Umum.
Memang, tidak ada teman atau
musuh yang kekal dalam politik.
Inilah bentuk senario pasca
pilihan raya yang perlu turut diambil kira.
* Tan Sri Michael Yeoh Oon
Kheng ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia
(ASLI) & Timbalan Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam (CPPS).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment