DRAMATIK....
Kombinasi gambar menunjukkan isteri mangsa (gambar kiri) memujuk mangsa sebelum
diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (gambar kanan) dalam
insiden tersebut.
KUCHING: Cubaan seorang
lelaki untuk terjun dari tingkat tujuh bangunan milik sebuah universiti swasta
di Simpang Tiga di sini tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk oleh isterinya
sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, semalam.
Lelaki berusia 36 tahun itu
nekad bertindak sedemikian dipercayai akibat mengalami tekanan perasaan yang
berpunca daripada masalah keluarga yang kemudian menjejaskan prestasi kerjanya.
Ekoran itu, mangsa yang
bekerja sebagai staf sokongan universiti tersebut ditegur oleh pihak pengurusan
menyebabkan dia nekad ingin terjun dari bangunan itu melalui tingkap sekitar
jam 12 tengah hari semalam.
Menurut jurucakap polis,
sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian
sejurus menerima laporan berhubung kejadian.
“Dengan bantuan daripada
isteri mangsa serta rakan-rakannya, pihak bomba berjaya memujuk mangsa dan
membawanya masuk semula ke dalam bangunan kira-kira 30 minit selepas itu.
“Siasatan awal mendapati
mangsa tertekan dengan masalah keluarga dan kerja dan buat masa ini, dia dibawa
ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan dan akan ditahan
untuk siasatan atas kesalahan cubaan membunuh diri,” katanya.
Mangsa juga diberitahu akan
dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam satu kejadian berasingan,
seorang wanita berusia 48 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung di rumahnya
di Jalan Durian Burung di sini, semalam.
Menurut sumber, mayat mangsa
ditemui oleh kakaknya sendiri di tingkat atas rumah mangsa ketika melawat
mangsa sekitar jam 9 pagi semalam.
Mangsa difahamkan seorang
diri di rumahnya di mana suaminya telah pergi bekerja, manakala dua lagi anak
bersekolah.
Pihak polis juga bergegas ke
tempat kejadian dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. (UB)
No comments:
Post a Comment