Wednesday 27 February 2013

MAJORITI TIDAK SUKA ‘PROJEK IC’ DI SABAH





TINJAUAN...... Merdeka Center mendapati 60 peratus pengundi percaya sebahagian besar warga asing mendapat kad pengenalan biru untuk menunjukkan status mereka sebagai warganegara. 

Oleh : DEBRA CHONG       



KUALA LUMPUR : Sembilan daripada 10 pengundi tidak bersetuju dengan langkah Putrajaya memberi kewarganegaraan kepada warga Indonesia dan Filipina untuk tinggal dan mengundi di Sabah, berdasarkan tinjauan pengundi berikutan pendedahan semasa Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai kebanjiran warganegara asing sejak 20 tahun lalu di negeri tersebut.

Merdeka Center, yang melakukan tinjauan bebas ke atas 1,021 pengundi di Semenanjung Malaysia pada akhir Januari berkata, 86 peratus mengatakan mereka tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang digelar 'Projek IC' sehingga menyebabkan peningkatan mendadak populasi di negeri Di Bawah Bayu itu.

Tinjauan tersebut menunjukkan 60 peratus pengundi percaya sebahagian besar warga asing mendapat kad pengenalan biru untuk menunjukkan status mereka sebagai warganegara.

Isu yang berbangkit mengenai pendatang haram tidak dikaji berdekad lama menyebabkan kemarahan di kalangan rakyat Sabah khususnya kaum asli seperti Kadazandusun dan Murut, yang merasakan negeri mereka dicabul kedaulatannya dengan kebanjiran pendatang asing dari Filipina dan Indonesia.

Lebih suku daripada populasi di Sabah ialah pendatang asing, sejumlah 889,000 dari 3.2 juta penduduk, iaitu 28 peratus berdasarkan bancian 2010.

Sabah mempunyai 926,638 pengundi menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Jun.

Kehadiran pendatang asing dalam jumlah yang besar membimbangkan penduduk Sabah, selain turut menyalahkan mereka berikutan peningkatan jenayah dan kekurangan peluang pekerjaan.

Selain itu, baru-baru ini lebih 100 orang bersenjata dari Filipina menceroboh Lahad Datu dan mendakwa Kesultanan Sulu memiliki Sabah sejak 2009 serta enggan meninggalkan kawasan berkenaan.

Melihat kepada masalah kebanjiran pendatang asing, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razik bersetuju untuk mengadakan inkuiri suruhanjaya diraja (RCI) bagi mencari jalan penyelesaian.

Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama memerintah Malaysia bermula 1981 hingga 2003, dituduh sebagai dalang dalam 'Projek IC', di mana kewarganegaraan diberi untuk mendapatkan undi.

Namun Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh yang mentadbir negeri itu dari 1976 hingga 1985 menafikan kewujudan 'Projek IC'.

Dr Mahathir dalam sidang media bulan lalu berkata warga asing di Sabah sememangnya layak mendapatkan kewarganegaraan, tetapi menegaskan ia 'masih mengikut undang-undang'.

Inkuiri yang diketuai oleh Bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan disambung semula pada 5 Mac.

Tinjauan 23 Januari hingga 6 Februari yang dibiayai Merdeka Center melihat kepada persepsi pengundi menjelang pilihan raya ke-13 tidak lama lagi, dengan ralat sebanyak 3 peratus.

Badan peninjau itu berkata tinjauan itu dilakukan selepas 12 Januari, iaitu Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan pemimpun Pakatan Rakyat (PR) di ibu negara dan juga liputan media mengenai inkuiri suruhanjaya diraja mengenai Projek IC di Sabah.

Ia juga bertanya pelbagai isu, termasuk mengenai peniaga permaidani Deepak Jaikishan, kenyataan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan yang sering bertentangan dengan kerajaan dan isu kalimah Allah.

No comments:

Post a Comment