KUALA LUMPUR : Pilihan raya
umum (PRU) ke 13 dijangka akan berlaku pada minggu kedua April, sebulan selepas
Datuk Seri Najib Razak tamat jelajah 'Janji Ditepati' dan Barisan Nasional (BN)
selesai menyiapkan senarai calon dan manifesto, kata satu sumber.
The Malaysian Insider difahamkan,
perhentian terakhir jelajah Perdana Menteri adalah kawasan parlimennya Pekan
pada 16 Mac di mana beliau dijangka akan bertemu dengan Yang Di Pertuan Agong
selepas itu untuk membubarkan parlimen.
“Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) kebiasaannya menetapkan tarikh pilihan raya tiga minggu selepas parlimen
dibubarkan, jadi kami jangka paling awal adalah pertengahan April,” kata sumber
BN kepada The Malaysian Insider.
Terdapat spekulasi parlimen
akan dibubarkan minggu ini dan PRU akan diadakan pada akhir Mac, lebih lima
tahun selepas PRU terdahulu pada 8 Mac, 2008.
Akan tetapi sumber BN
menafikan spekulasi tersebut, mengatakan satu-satunya acara berkaitan pilihan
raya minggu ini adalah SPR akan mengazetkan daftar pemilih terbaru esok.
SPR akan menetapkan tarikh
pilihan raya dengan 10 hari tempoh berkempen dan dijangka akan melakukannya
selepas parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kecuali bagi DUN
Sarawak. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.
“PM mempunyai masa sehingga
28 April untuk mengadakan pilihan raya. Beliau akan mengambil masa,” kata
sumber tersebut, dengan menambah pemimpin BN akan menyemak manifesto dan
senarai calon dengan berhati-hati untuk memastikan kombinasi kemenangan.
The Malaysian Insider,
sebelum ini, melaporkan manifesto BN akan siap pada akhir bulan ini dan aktivis
dari parti komponen telah mula bekerja di bawah.
The Star melaporkan semalam
Najib mahu “segalanya diselesaikan” pada akhir Mac, merujuk kepada manifesto,
senarai calon dan persediaan umum.
Akhbar berbahasa Inggeris
milik MCA itu juga mengatakan Najib menghadapi kesukaran untuk melantik calon
Menteri Besar untuk Kedah dan Selangor yang cuba dirampas semula BN.
“Tanpa nama calon MB yang
dicadangkan sebelum pilihan raya, Najib akan berdepan kesukaran untuk
meyakinkan pengundi bahawa BN serius untuk menawan kembali negeri itu,” kata
satu sumber kepada The Star.
The Malaysian Insider
difahamkan senarai menteri besar akan siap akhir bulan ini selepas Majlis
Raja-raja bersidang pada 26 Febuari.
Beberapa menteri besar
dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke peringkat pusat bagi yang telah
berkhidmat lebih dari tiga penggal di negeri mereka.
“Najib serius dengan
transformasi, tentang memperbaharui parti, jadi perlu menukar menteri besar
seperti mana Dr Mahathir lakukan pada 1982,” kata orang kuat Umno kepada The
Malaysian Insider merujuk kepada rombakan pemimpin negeri dilakukan Tun Dr
Mahathir Mohamad selepas mendapatkan mandat sebagai Perdana Menteri pada
Pilihan Raya 1982.
Di kalangan Menteri Besar atau
Ketua Menteri yang mungkin perlu di tukar adalah dari Johor, Melaka dan Pahang
selain dari muka baru di Kedah dan Selangor.
The Star turut melaporkan
beberapa pemimpin BN mengatakan, Najib mahu menggelakkan tarikh dari 29 Mac
hingga 4 April untuk tarikh pilihan raya.
Ini kerana, kata mereka,
tarikh tersebut jatuh pada cuti Good Friday pada 29 Mac dan Easter pada 31 Mac
manakala Qing Ming pula pada 4 April.
Oleh kerana 4 April jatuh
pada hari Khamis, kebanyakan masyarakat Cina memilih untuk membersihkan kubur
nenek moyang mereka sepanjang hujung minggu iaitu 6 dan 7 April.
“Kebanyakan kaum Cina pulang
ke kampung halaman dan pilihan raya pada minggu tersebut mungkin tidak mendapat
sambutan,” kata akhbar tersebut.
No comments:
Post a Comment