Friday, 22 February 2013

SABAH CATAT RM114 BILION






LAWAT......Maximus (kiri) dan Yahya semasa melawat gerai pameran melibatkan penyelidikan ikan empurau.

By : SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Sejak pelancaran Koridor Pembangunan Sabah (SDC) tahun 2008, Sabah berjaya mencatat rekod pelaburan terkumpul sebanyak RM114 bilion sehingga akhir tahun 2012.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, pelaburan yang diterajui oleh sektor swasta dijangka akan terus meningkat kerana Sabah adalah salah satu destinasi pelaburan yang menarik.

Katanya, ia sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan SDC kini dalam fasa kedua pelaksanaannya.

“Rangka tindakan SDC mengambil kira dan menyenaraikan strategi-strategi yang digariskan dalam Pelan Induk Tindakan Bioteknologi Sabah.

“Ini kerana, bioteknologi dilihat mempunyai potensi sebagai pemangkin pertumbuhan sumber ekonomi baru yang berupaya menjana kekayaan baru negeri ini.

“Sehubungan itu, Agenda Halatuju Negeri Sabah turut menggariskan keperluan untuk memanfaatkan sains dan teknologi, terutamanya bioteknologi bagi pembangunan negeri,” katanya.

Menurutnya, dengan berpandukan agenda berkenaan, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif baru untuk memudahkan penyertaan dalam bioekonomi yang berintensifkan pengetahuan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bio-Borneo 2013 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh timbalannya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Musa berkata, inisiatif utama di bawah SDC termasuklah pelaksanaan projek Sabah Agro-Industrial Precinct (Saip), Kelompok Perindustrian Minyak Sawit (POIC), Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC), dan Kluster Bersepadu Industri Marin.

“Sebagai Pengerusi Sedia, saya menyokong penuh langkah-langkah yang diambil oleh BiotechCorp dan Sedia untuk bekerjasama dalam menyokong inisiatif bioekonomi di Sabah melalui SDC.

“Ia selaras dengan terma perjanjian kerjasama antara Sedia dan BiotechCorp yang ditandatangani pada 30 Ogos 2012 yang antara lain bertujuan menarik pelaburan dalam SDC.

“Usaha ini meliputi bioteknologi perindustrian, bioteknologi pertanian dan bioteknologi penjagaan kesihatan,” katanya.

Katanya, dengan cara memanfaatkan faktor kekayaan sumber asli khazanah Sabah, terutama kekayaan sumber pertanian dan biodiversiti, pihaknya yakin Sabah mempunyai potensi besar untuk menarik industri bioteknologi ke negeri ini.

Musa berkata, ia sekaligus membantu mengembangkan lagi aktiviti nilai ekonomi yang tinggi di Sabah.

Sempena majlis itu juga, sebanyak 13 kerjasama strategik dimeterai antara BiotechCorp, Sedia dan beberapa agensi berkaitan bioteknologi.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi , Datuk Fadilah Yusof; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang En Yin; Ketua Pegawai Eksekutif Sedia, Datuk Dr. Mohd Yaakob Johari; dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr. Mohd Nazlee Kamal. (UB)

No comments:

Post a Comment