Thursday 28 February 2013

MASYARAKAT KUAMUT CELIK POLITIK






CENDERAHATI.....Salah seorang tetamu kehormat  menerima cenderahati daripada Masiung.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KUAMUT : Rakyat di kawasan luar bandar tidak pernah terpinggir dalam menerima pelbagai bantuan, malah terus mendapat pembelaan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Prasarana asas di Kuamut, terutama jalan raya dari simpang Telupid hingga ke daerah Kecil Tongod begitu cantik sekali sehingga jika wang 5 sen jatuh masih boleh dikutip.

Bekalan air paip bekalan dan eletrik sudah pun sampai disambung dari rumah ke rumah; menunjukkan keupayaan dan keikhlasan kerajaan BN yang dipilih oleh rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Masiung Banah berkata demikian semasa berucap merasmikan program Majlis Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Pejabat ADUN Kuamut yang diadakan di Kampung Buang Sayang, Bukit Garam, kelmarin.

“Kita tahu sejak kebelakangan ini para pemimpin pembangkang  khususnya PAS dan PKR masuk kampung keluar kampung menabur pelbagai fitnah  untuk memesongkan  dan meracuni  fikiran rakyat  supaya membenci kepada pucuk pimpinan dan kerajaan BN.

"Tetapi rakyat sekarang bukan seperti dahulu yang boleh digula-gulakan. Jangan ingat orang kampung masih boleh diperbodoh-bodohkan. Kini sudah zaman ICT/IT. Mereka sudah celik mata dan pandai menilai yang mana baik dan yang mana buruk,” tegas Masiung.

Ditanya mengenai tindakan mantan Presiden LDP Datuk Chong Kah Kiat menyertai parti Pakatan Rakyat, Masiung berkata sedikitpun tidak menjejaskan jentera dan kekuatan Barisan Nasional (BN).

Lagipun kata Masiung, Chong bukanlah seorang pemimpin yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina di Sabah kerana jasanya kepada orang Cina semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah terlalu sedikit.

Masiung menambah, tujuan program Majlis Jalinan Mesra ini menjurus kepada merapatkan lagi jurang antara rakyat dan pemimpin kerajaan di samping dapat mengetahui lagi segala permasalahan rakyat.

Turut hadir pada Majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kuamut  Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Kuamut Majid Lindan dan Pegawai Daerah (DO) Kuamut.

No comments:

Post a Comment