Sunday 10 February 2013

TREN TERGELINCIR, 150 TERKANDAS






BUKIT MERTAJAM : Lebih 150 penumpang kereta api Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru, di sini Sabtu ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, lokomotif kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa 10 gerabak penumpang itu turut mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat kebocoran diesel.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.25 petang dan sebuah jentera bersama enam anggota tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Ketika pihak bomba sampai, kelihatan kepulan asap tebal di bahagian hadapan yang menempatkan enjin kereta api dan kita berjaya mengawal api pada 2.47 petang sebelum ia dipadamkan sepenuhnya 36 minit kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Katanya pemeriksaan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian enjin kereta api yang disebabkan kebocoran tangki diesel.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment