Tuesday, 16 August 2011

BANGKITKAN SEMANGAT CINTAKAN NEGARA!




LEKAT…Jamawi ketika memulakan kempen Jalur Gemilang dengan meletakkan jalur gemilang kepada kenderaan yang melalui kawasan pelancaran program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

TENOM: Penganjuran program patriotik oleh beberapa Jabatan Kerajaan, organisasi termasuk parti parti politik dilihat sebagai satu usaha yang positif kerana dapat membangkitkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, program seumpama itu bukan sahaja mampu meningkatkan semangat jati diri, malah peranan mereka dalam mempertahankan kemakmuran yang telah dikecapi negara sejak merdeka.

"Penganjuran Program Penyerahan Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Ramdan yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom yang dilaksanakan ini, bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi turut menghimpunkan pemuda dari pelbagai kaum sekali gus dapat menjayakan Gagasan 1 Malaysia,“ katanya ketika berucap melancarkan program tersebut pagi keLmarin di perkarangan Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antenom.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom program seperti ini perlu diperhebatkan memandangkan golongan merupakan pewaris kepimpinan negara mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bukan sahaja menimba ilmu, malah mempertahankan kemerdekaan negara yang diwarisi daripada pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu.

Tambah Jamawi, golongan belia perlu memperkasakan lagi asas-asas yang telah dibina oleh para pejuang kemerdekaan dahulu mengikut kesesuaian keadaan masa kini. Ini kerana sebagai pemimpin merekalah yang akan menggalas tanggungjawab untuk meneruskan kelangsungan pembangunan,keamanan dan kesejahteraan Negara pada masa akan datang.

"Jika soal perkauman boleh berjaya diselesaikan oleh pejuang kemerdekaan terdahulu maka, keharmonian antara kaum juga tidak menjadi suatu masalah pada masa kini dalam kehidupan kita yang jauh lebih baik, dan inilah yang turut ditekakan dalam konsep 1 Malaysia,'' tambah Jamawi.

Sehubungan dengan itu Jamawi mengajak golongan belia di daerah itu akan memiliki semangat patriotik terhadap bangsa dan Negara dengan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai eleman negatif yang bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka, namun turut menjejaskan masa Negara yang kini berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah Negara yang maju aman dan makmur.

No comments:

Post a Comment