Monday, 8 August 2011

ISU AIR KENAPA RAMLI DIPERSALAHKAN?



Saudara Pengarang,

KENYATAAN demi kenyataan yang muncul sejak kebelakangan ini, yang sedihnya kenyataan yang tidak relevan muncul di dalam bulan Ramadhan, tidakkah kita takut dengan azab Allah SWT. Artikel yang muncul tanpa fakta kukuh merupakan pembohongan kepada rakyat.

Saya tidak mahu menjadi hero di sini, namun saya hanya ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap individu yang merasa begitu tercabar dengan pemimpin Bugaya yang kami kasihi iaitu Datuk Ramli Marhaban. Saya tidak kisah sekiranya orang mengatakan saya badut atau orang suruhan Datuk Ramli Marhaban. Ini jelas pendirian dan prinsip saya sebagai penyokong beliau.

Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membela pemimpin mana yang saya lihat ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Saya dapat membuat kesimpulan di sini, melalui kenyataan yang telah muncul sebelum ini, isu air terutamanya, kenapa kita harus melihat ia sebagai kesilapan Datuk Ramli secara keseluruhannya, adakah kita telah menyiasat perkara ini secara 'total'?

Secara keseluruhannya, mungkin pembaca akan menilai saya sebagai pengampu, orang suruhan dan pasti bermacam tuduhan lagi yang bakal saya terima. Tapi pada saya, saya tidak perlu memperdulikan cakap-cakap yang mengarut dan tidak mendatangkan manfaat buat kita semua. Orang yang sering bercakap salah akhirnya akan sedar juga.

Tidak dapat dinafikan, memang sudah jadi hakikat setiap pemimpin pasti mempunyai banyak tanggungjawab dan pemimpin juga tidak boleh lari dari menerima teguran dan kritikan. Secara keseluruhannya, sesiapa pun boleh bising dan terus mengkritik, namun sempurnahkah kita?

Buat kita yang belum pernah merasai menjadi seorang wakil rakyat, tahukah kita bagaimana mereka (YB) mengatur masa bersama rakyat dan keluarga, mereka juga mempunyai banyak komitmen. Perlu kita faham, tidak ada masalah yang boleh selesai dalam tempoh masa yang singkat, sebaliknya ia pasti mengambil masa.

Perkara pokok yang saya ingin bangkitkan di sini ialah, kenapa ada yang mengambil kesempatan di sebalik isu-isu yang dibangkitkan? Sesiapa pun boleh jadi hero sebut soal air, jambatan dan lain-lain lagi.

Kenapa tidak sebut soal strategi dan pendekatan yang digunakan oleh Datuk Ramli untuk membantu rakyat?

Adakah anda tahu bahawa Datuk Ramli membantu membangunkan kawasan dan rakyat di Bugaya? Beliau masuk ke setiap pelusuk kampung dan telah membantu rakyat khasnya kemudahan asas.

Jangan kata bina jambatan, hatta bina rumah dan baiki rumah rakyat ini termasuklah 7 masjid baru yang di bina di kawasan DUN Bugaya dan 12 masjid kampung yang dibaiki hasil usaha beliau.

Program basmi kemiskinan (MESEJ) ladang sejahtera DUN Bugaya yang pertama di Pantai Timur. Perlu kita tahu juga, isu besar penyelesaian tanah NCR/Geran Komunal yang berpuluh tahun menjadi rintihan rakyat Semporna, akhirnya berjaya diperolehi hasil usaha Datuk Ramli Marhaban selaku wakil rakyat DUN Bugaya yang tanpa jemu merayu dengan kerajaan.

Oleh sebab itulah puak-puak yang mahu jadi calon dalam pilihan raya cuba menjatuhkan beliau dengan isu murahan.

Tidak bermaksud bahawa setiap pemimpin itu tidak boleh menerima teguran dan kritikan, namun janganlah berbentuk menghina dan memfitnah. Biarlah sesuatu isu yang kita suarakan bermanfaat untuk semua. Saya pasti jika artikel ini muncul, pasti saya akan diserang melalui komen, pasti ada yang mengatakan saya mendapat habuan, tapi saya tak kisah kerana Allah SWT tahu perjuangan saya selaku hambaNya di muka bumi ini.

Renung-renungkanlah!

Salam Hormat,

AHMAD DHANI

No comments:

Post a Comment