MESYUARAT jawatankuasa induk program 5P (pendaftaran, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) peringkat negeri Sabah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama dua hari lagi sehingga Rabu ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Sukarti Wakiman berkata tempoh pelanjutan itu hanya melibatkan empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.
Kata Sukarti, perlanjutan ini kerana keempat-empat pusat pendaftaran itu masih lagi merekodkan bilangan pendatang tanpa izin (PATI) yang berdaftar melebihi 300 orang dalam sehari.
Sukarti berkata tempoh pendaftaran bagi lima lagi daerah iaitu Kudat, Ranau, Sipitang, Semporna dan Keningau akan berakhir isnin lalu kerana merekodkan jumlah pendaftaran pendatang tanpa izin yang kurang dari 100 orang sehari.
Beliau berkata program pendaftaran melalui program outreach pula dihentikan mulai hari ini (8 Ogos) kerana Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak lagi menerima sebarang jemputan dari mana-mana majikan ladang yang ingin mendaftarkan pendatang tanpa izin di ladang mereka.
Katanya pendaftaran pendatang tanpa izin di bawah program 5P, yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden itu, sepatutnya hanya berlangsung selama 22 hari dari 18 Julai hingga semalam.
Sukarti berkata setakat semalam (7 Ogos), sejumlah 154,995 pendatang tanpa izin, termasuk 111,397 dari Indonesia dan 43,193 dari Filipina, berjaya didaftarkan di sembilan pusat pendaftaran dan juga di tiga daerah yang terlibat dengan Program Outreach (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment