Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
SABAHKINI.NET, portal online terkini di Sabah merupakan media baru yang kini diiktiraf kerana berperanan proaktif sebagai wadah rakyat Sabah di seluruh negara menyalurkan pelbagai maklumat dan rintihan hati masyarakat terhadap perbuatan songsang yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
Di samping itu Sabahkini.Net tidak pro kepada mana-mana parti politik yang ada di negara ini, sama ada pembangkang mahupun parti kerajaan. Sikap terbuka dan fleksibel kepada semua pihak dalam menyiarkan berita-berita yang dihantar ke Sabahkini.Net menunjukkan kematangan rakyat Sabah dalam bidang teknologi maklumat.
Ketua Editor yang juga Pegawai Eksekutif Sabahkini.Net, Mutalib M.D. berkata demikian dalam perjumpaan khas dengan Timbalan Ketua Pesurujaya PAS Sabah, Haji Hamzah Abdullah semasa kunjungan singkatnya ke Sandakan kelmarin.
Kata Mutalib lagi, memang terdapat segelintir pemimpin politik di Sabah khususnya di Sandakan yang mempunyai persepsi negatif terhadap peranan media baru ini kerana menyiarkan hampir 60 peratus berita daripada parti pembangkang; termasuk juga individu yang mengkritik kerajaan BN yang memerintah sekarang.
Selain itu kata Mutalib, Sabahkini.net juga banyak menyiarkan berita-berita mengenai aktiviti-aktiviti para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dari masa ke semasa; menunjukkan Sabahkini.net tidak bersikap berat sebelah seperti media arus perdana.
“Jangan Tanya Sabahkini.net kenapa tidak menyiarkan berita Pro-Kerajaan, sebaliknya tanya pemimpin Kerajaan kenapa memusuhi Sabahkini.net semata-mata kerana kami membongkar kebenaran yang disembunyikan di sebalik sehelai daun lalang,” ujar Mutalib yang mengalu-alukan sumbangan berita daripada Ahli Parlimen dan Adun BN di Sabah.
Kata Mutalib, tidak semua berita yang dihantar pembangkang disiarkan Sabahkini.net melainkan berkonsepkan kepentingan rakyat terutama apabila mereka menyuarakan masalah prasarana dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin BN.
“Pemimpin BN agak taksub kepada kepimpinan mereka sehingga tidak menyedari ramai rakyat menderita akibat sikap pilih kasih dan nepotisme mereka dan apabila rakyat menyuarakan kepada Sabahkini.net; kami ditohmah dengan pelbagai gelaran yang tidak ada dalam kamus DBP,” kata Mutalib secara berseloroh.
Turut hadir pada perbincangan tersebut hampir dua jam di Sabah Hotel ialah Naib Ketua Cabang Parti KeAdilan Rakyat Kawasan Batu Sapi, Zainuddin Hassan; Ketua Biro Sabahkini.Net Wilayah Sandakan (SSJ); Jurugambar Sabahkini.Net Jun Pacifico dan Saffie S Jumadi.
Memang tidak dinafikan wartawan Sabahkini.Net sering mengetengahkan isu sensasi sering menerima pelbagai ugutan daripada pihak tertentu tetapi kata Mutalib, sudah menjadi asam garam wartawan.
“Jangan bicara soal keadilan jika gentar dengan ancaman. Jangan jadi wartawan jika hanya untuk menulis warta. Jadilah pejuang rakyat sekalipun peranan anda sebagai wartawan yang berjuang melalui era siber, bukan lagi dengan mata pena yang kehabisan dakwat,” ujar Mutalib yang mengakui sukar mencari wartawan tulen di Sabah.
Dalam pada itu, Hamzah dan Zainuddin mengakui bahawa Sabahkini.net telah menjadi perintis media baru di Sabah kerana diterbitkan secara interaktif dan mengamalkan dasar tidak menapis internet.
“Sewajarnya media di Sabah mencontohi kebebasan media yang diamalkan Sabahkini.net dan mengelakkan diri daripada menjadi lidah rasmi kerajaan; sebaliknya menjadi suara hati rakyat,” tegas Hamzah.
Manakala Zainuddin pula menegaskan, parti pembangkang memerlukan jentera dan bala tentera untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang; tetapi mereka gagal memanfaatkan peranan Sabahkini.net sebagai ‘Wira Siber’ yang berjaya memikat hati semua golongan masyarakat.
“Tanpa Sabahkini.net, suara rakyat melalui pembangkang umpama bahasa bisu yang sukar diterjemahkan para pengundi yang keliru dengan propaganda arus perdana,” kata Zainuddin yang memuji keberanian Sabahkini.net mempelopori media online yang berketrampilan dan berkaliber.
No comments:
Post a Comment