LANCAR…. Kurup melancarkan pengibaran jalur gemilang di kalangan pengendali bot di Pengkalan Jeti Kg.Salong.
Oleh : ROZIE JUMAT
PERUBAHAN banyak berlaku di kawasan pedalaman hasil nikmat kemerdekaan yang dicapai oleh negara ini. Sehubungan dengan itu rakyat haruslah mensyukuri berkat kemerdekaan dan mempertahankan nikmat kemerdekaan itu untuk terus meningkatkan martabat hidup.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perubahan telah banyak berlaku di kawasan pedalaman berbanding di masa lalu, dan pembangunan itu akan berterusan kerana negara ini adalah sebuah negara yang merdeka berkat perjuangan pemimpin terdahulu.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Pensiangan) berkata demikian di Majlis Pelancaran Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kecil Pagalungan di Pengakalan Jeti Kg.Salong, Nabawan.
“Sebagai generasi masa sekarang kita akan mempertahankan kemerdekaan dan terus berbakti kepada rakyat,” kata Kurup.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, Sukiang Ensing, Ketua Daerah, Abdul Rahman Lindas serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan.
Tambahnya, kerajaan benar-benar komited untuk membangunkan rakyat sekaligus memerdekakan mereka dari belenggu kemiskinan.
“Usaha ini berterusan untuk memastikan tidak ada rakyat kita yang ketinggalan dalam menikmati erti sebenar kemerdekaan,” kata Kurup.
Beliau seterusnya melancarkan pengibaran jalur gemilang dikalangan pengendali bot di Daerah Kecil Pagalungan.
No comments:
Post a Comment