Saudara Pengarang,
SAYA merujuk kepada
kenyataan media oleh ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkaitan saranan
beliau agar rakyat tidak menggadai masa depan dengan mengundi pembangkang pada
PRU akan datang.
Kenyataan Hamisa lebih
banyak menggambarkan dirinya sebagai seorang wakil rakyat yang keliru kerana mindanya
sangat terkebelakang. Beliau telah gagal mengemaskini pengetahuannya selari
dengan perkembangan senario semasa.
Rakyat Kelantan telah
membuat pilihan yang tepat apabila terus mengekalkan kerajaan yang diterajui
PAS, sebuah pentadbiran yang meletakkan ulama sebagai pemimpin ulung mereka
selama lebih 22 tahun.
Pembangunan di negeri
Kelantan lebih banyak membawa kemakmuran kepada rakyat seluruhnya berbanding
dengan kerajaan di bawah pentadbiran BN yang mengutamakan kepentingan kroni dan
pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.
Oleh sebab itu, perbelanjaan
untuk sebuah tangki air yang berharga tidak lebih RM400 telah mencecah sehingga
RM2,500 sebuah. Ke mana perginya lebihan RM2,100 kalau bukan ke kocek para pemimpin
UMNO dan kroni-kroninya?
Bayangkan, berapa juta
ringgitkah yang bakal dikaut oleh para pemimpin UMNO untuk 40,000 unit tangki
air? Ertinya, UMNO telah mengeksploitasi kemiskinan rakyat untuk mendapatkan
habuan pulangan berjuta ringgit di atas projek yang mereka canangkan.
Saya suka mengingatkan Hamisa,
bahawa wang yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk semua projek pembangunan
bukannya datang dari kantung Perdana Menteri UMNO atau mana-mana pemimpin UMNO.
Wang itu datangnya dari
kocek para pembayar cukai, dari kocek ahli-ahli PAS, PKR, DAP dan seluruh
rakyat Malaysia. Jadi, apa perlu Hamisa mendabik dada di atas pembiayaan
pembangunan negara dari wang rakyat yang
sebenarnya hanya memperkayakan para pemimpin UMNO?
Rompakan royalti minyak yang
sewajibnya menjadi hakmilik rakyat Kelantan hanya mengesahkan sikap talam dua
muka para pemimpin UMNO yang kokoknya berderai-derai; mencanangkan slogan
'wasatiyyah' dan 'kesederhanaan'.
Wasatiyyah apa kalau harta
milik rakyat Kelantan dalam bentuk royalti telah dinafikan oleh UMNO/BN?
Kesederhanaan apa yang UMNO/BN laungkan apabila tindakan merompak royalti
minyak Kelantan adalah suatu tindakan melampau dan 'ekstrim'?
Mungkin Hamisa buat-buat
lupa bahawa Sabah berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang sentiasa
terputus hampir setiap minggu di semua Daerah di Sabah. Akan ada sahaja kita
dengar dan baca tentang rungutan orang ramai dan para pengusaha perniagaan yang
mengalami kerugian akibat terputus bekalan elektrik.
Ke mana pergi peruntukan
berjuta-juta ringgit yang diumumkan oleh Menteri UMNO untuk konon mahu menambah
janakuasa bagi menyelesaikan masalah tersebut? Kenapa Hamisa buat-buat lupa
tentang penafian hak orang asal ke atas pemilikan tanah oleh Kerajaan Negeri
Sabah?
Mengenai Perhimpunan Agung
UMNO baru-baru ini, saya suka mengingatkan Hamisa bahawa ia sebenarnya tidak
lebih daripada sebuah lakonan lama yang diulang tayang semula. Perhimpunan
Agung UMNO hanya berdegar-degar dengan retorik dari pemimpin yang kecut
berdepan secara bersemuka dengan pemimpin PR dalam membahaskan isu-isu besar
seperti rasuah dan salah guna kuasa yang melingkari kerajaan UMNO/BN.
Pemimpin-pemimpin UMNO hanya
lantang bersuara di dalam media, radio dan televisyen, membuat pelbagai tuduhan
dan fitnah ke atas para pemimpin PR. Tetapi, apabila diajak berdebat dan
berbahas; mereka gunakan pelbagai helah dan alasan untuk mengelak agar supaya
tembelang mereka tidak terdedah dan diketahui rakyat.
Salam Hormat,
HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
YDP PAS Batu Sapi
No comments:
Post a Comment