Thursday, 6 December 2012

AKTRES WANITA IRAN DIHARAM PULANG







PARIS : Tindakan seorang pelakon wanita Iran yang bergambar bogel di dalam majalah Madame Le Figaro, minggu ini telah mencetuskan pelbagai reaksi terutama daripada penduduk di Iran sendiri.

Aksi `berani mati’ Golshifteh Farahani itu bagaimanapun mendapat lebih banyak kecaman daripada penduduk Iran yang menyifatkannya sebagai tidak bermaruah.

Menurut agensi berita Iran, FARS, dia yang dulunya berlakon sebagai seorang ibu yang penyayang di Iran kini telah berubah selepas menyertai Hollywood.

“Dia bukan sahaja menjual tubuhnya malah menjual maruah semata-mata ingin mendapatkan penghargaan di kalangan barat,” kecam FARS.

Berikutan itu, dia diharamkan daripada menjejak kaki di tanah airnya selepas bergambar bogel.

Kerajaan Iran dilaporkan berkata, Farahani tidak dialu-alukan di negara itu dan dia boleh menunjukkan bakat lakonannya itu di tempat lain.

Farahani berpindah ke Perancis selepas mencipta sejarah di Iran kerana menjadi pelakon pertama di negara berkenaan yang membintangi filem barat.

Pada 2008, dia membintangi filem `Body of Lies’ sebagai jururawat bersama aktor Leonardo DiCaprio.

Keputusan Farahani untuk bergambar bogel itu telah menyebabkan laman sosialnya iaitu Facebook, Twitter dan blogs dipenuhi dengan pelbagai cercaan dan kata-kata nista.

Antara yang mengecamnya ialah seorang jurutera dari Isfahan, Mohammed.






Dia berkata, pelakon di Iran berdepan dengan pelbagai sekatan daripada kerajaan, namun tindakan Farahani bergambar bogel ini telah menambahkan kesukaran kepada artis di negara konservatif itu untuk berkarya.

Namun ada juga yang menyokong dan memuji langkah tersebut yang disifatkan pihak tertentu sebagai mempunyai keberanian tersendiri.

Salah seorang ialah Mary Apick yang juga seorang bekas bintang filem terkenal di Iran dan pernag memenangi anugerah pelakon wanita terbaik dalam Festival filem Moscow.

Selepas menyaksikan aksi Farahani itu, Apick berkata dia tidak percaya dengan apa yang disaksikannya.

“Dia tidak akan dapat balik lagi ke Iran. Tidak sekali-kali.Tiada siapa yang pernah melakukannya. Ini adalah satu keberanian yang tidak pernah saya saksikan,” katanya.

Apick yang menetap di Amerika Syarikat dan telah menempa nama di negara itu dengan menjadi pelakon dan aktivis berkata, adalah sukar untuk menjadi pelakon apabila saya berada di Iran.

“Jika dulu sukar, kini bertambah sukar, rejim tidak berminat dengan karakter wanita dalam filem,” katanya.

No comments:

Post a Comment