KUALA LUMPUR: Kedudukan
Malaysia yang meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun
ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu menunjukkan bahawa segala usaha dan
pembaharuan yang dibuat kerajaan berkesan.
Presiden Persatuan Fraud
Bertauliah Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata, kedudukan itu perlu dibanggakan
kerana ia merupakan kali pertama Malaysia menunjukkan peningkatan dalam indeks
tersebut.
“Selalunya kedudukan kita
menurun, kedudukan yang dicapai kali ini dipengaruhi oleh pelbagai pembaharuan
dan tindakan yang dibuat kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan ada iltizam politik,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Akhbar yang juga bekas
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Perlis dan Negeri Sembilan berkata
penubuhan 14 buah mahkamah khas rasuah juga mempercepat penyelesaian sesuatu
kes rasuah.
“Pelaburan dari negara luar
akan bertambah kerana mereka akan melihat kepada CPI negara terbabit sebelum
membuat pelaburan, usaha-usaha yang baik perlu diteruskan dan perlu kerja kuat
untuk meningkatkan aktiviti pencegahan rasuah,” katanya.
Presiden Institut Integriti
Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kejayaan itu menunjukkan tanda
positif dan ia merupakan tapak yang baik untuk Malaysia terus memperbaiki
kedudukan dalam CPI pada tahun-tahun akan datang.
“Kita di IIM sangat bangga
kerana ia menunjukkan peningkatan, kalau trend ini berterusan dan tiada noktah
saya jangka kedudukan akan menjadi lebih baik tahun depan.
“Ada yang kata mungkin
perubahan ini disebabkan metodologi yang berbeza diguna pakai pada tahun ini,
tetapi walau apa pun kayu ukuran yang diguna, bila ia menunjukkan
penambahbaikan, kita harus bangga,” katanya.
Beliau berkata ikrar integriti
korporat di mana syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah
menandatangani ikrar tersebut secara sukarela bahawa mereka tidak akan
mengambil rasuah ketika berurusan juga menggalakkan indeks tersebut meningkat.
“Sebanyak 150 lebih syarikat
besar yang sudah menandatangan, IIM berusaha dengan GLC di negara ini supaya ia
akan menjadi satu tadbir urus korporat yang baik,” katanya.
Beliau berkata selain itu,
program Ketua Pegawai Integriti di mana pegawai akan diberi latihan selama enam
bulan di Pusat Latihan SPRM akan ditempatkan di agensi yang mengambil bahagian
bukan sahaja untuk memantau tugas audit dalam tetapi lebih daripada itu
termasuk penilaian kakitangan.
Transparensi Antarabangsa
Malaysia (Ti-M) semalam mengumumkan bahawa Malaysia meningkat ke tangga 54
dalam CPI tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu dan mendapat 49 dari 100
mata pada kaji selidik yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di
kalangan 176 negara.
Malaysia juga berada di
ranking ketiga di kalangan negara Asean di belakang Singapura yang memperoleh
87 mata diikuti Brunei Darussalam di tempat kedua dengan 55 mata. (Bernama)
No comments:
Post a Comment