Wednesday, 12 December 2012

PENDUDUK KG SAGA TENGAH BAKAL KEBULURAN?






ROSAK.....John (kiri) bersama Pengerusi CAPS Parlimen Tenom Petrus Raimah menunjukkan dua buah jentera pengepam rosak tiga tahun lalu tidak dibaiki membantut usaha para pesawah untuk menanam padi.

 Oleh: JACKSON LU

TENOM: Para petani sawah padi di Kg Saga Tengah menggesa kerajaan khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dekat sini agar mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah pengairan sawah padi sebelum kerosakan dua jentera pengepam air terletak di tebing Sungai Padas dapat diperbaiki sepenuhnya.

Jurucakap yang mewakili 10 pemilik sawah, John bin Baragang, 45, menyatakan demikian baru-baru ini, sebagai langkah terakhir mereka untuk mendapatkan perhatian pihak tertentu setelah berbagai usaha dilakukan mereka, tetapi semuanya gagal.

“Kami sudah kemukakan masalah ini kepada pihak tertentu bersama-sama dengan JKKK, termasuk mengetengahkannya semasa majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan sebelum ini, namun sehingga kini keadaannya masih tidak berubah.

“Bayangkanlah, sudah lebih tiga tahun kami tidak dapat mengerjakan sawah padi kami gara-gara masalah sistem pengairan yang gagal berfungsi. Kini keadaannya kelihatan semak dan dipenuhi rumput yang tinggi.

“Kami juga mengharapkan hasil padi di sawah kami untuk membantu meringankan bebanan kami terhadap kos sara hidup yang kini semakin tinggi terutamanya bahan makanan seperti beras,” tegas John.




SEMAK..... Kawasan bendang kelihatan semak samun tidak dapat diusahakan disebabkan tiada sumber lain untuk mendapatkan air untuk pengairan sawah.





KERING....Sawah padi kering kontang gara-gara kecuaian semua pihak.

Tegas John, pesawah di Kg Saga Tengah rata-rata bergantung di atas bantuan sistem pengairan melalui sedutan jentera pengepam dari Sungai Padas untuk menjana bekalan air ke beberapa bendang sawah di situ setiap kali musim mengerjakan sawah padi dimana ia tidak terdapat sumber lain untuk tujuan itu.

Selain itu, turut sama memantau kawasan yang terjejas teruk itu, Pengerusi CAPS (Consumers Affair & Protection Society of Sabah) kawasan Parlimen Tenom, Petrus Raimah menegaskan, adalah wajar bagi pihak berkenaan untuk menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin.

“Pendapatan pesawah dari bendang mereka telah terjejas beberapa tahun semata mata masalah pengairan sawah yang boleh ditangani pihak berkaitan jika ada keseriusan untuk menanganinya yang harus mengambilkira kebajikan rakyat,” tegas Petrus daripada CAPS.

No comments:

Post a Comment