SINGAPURA : Datuk Seri Najib
Tun Razak, arkitek pelbagai program transformasi kerajaan dan konsep 1Malaysia,
adalah pilihan rakyat Sabah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia,
kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, sambil
mengulangi bahawa "tidak akan berlaku tsunami politik yang akan melanda Sabah
dalam pilihan raya umum ke-13".
Beliau berkata ini terbukti
daripada sokongan kuat di peringkat akar umbi dengan kehadiran sejumlah besar
yang hadir bagi menyambut Najib semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini bagi
menarik sokongan menjelang pilihan raya umum yang digelar 'Ibu Segala
Pertempuran'.
Salleh berkata ia adalah
konsisten dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre baru-baru ini dengan
meletakkan pemeringkatan populariti Najib pada tahap yang selesa iaitu lebih
daripada 70 peratus.
"Dengan sentuhan ajaib
konsep 1Malaysia oleh Najib dalam mentransformasikan negara untuk masa depan
yang lebih baik, saya percaya pengundi akan memilih BN untuk terus memerintah
Sabah dengan majoriti selesa dalam pilihan raya umum ke-13.
"Dengan menyatakan
demikian, saya tidak fikir tsunami pilihan raya akan melanda Sabah,"
katanya dalam syarahannya bertajuk "Malaysian 2013 General Election: Will
Polls Tsunami Hit Sabah?" di S. Rajaratnam School of International
Studies, Nanyang Technological University, Singapura, hari ini.
Salleh berkata pilihan raya
umum ke-13 adalah pilihan raya yang penting bagi BN kerana ia "dianggap
satu ujian kepada populariti Najib memandangkan beliau memerlukan mandat yang
kuat untuk terus memerintah Malaysia".
Bekas Ketua Menteri itu melahirkan
keyakinan bahawa walaupun parti-parti komponen BN negeri PBS (Parti Bersatu
Sabah), LDP (Parti Demokratik Liberal, UPKO (Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu), PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) MCA dan Gerakan
berkemungkinan berdepan cabaran sengit dengan pembangkang di sesetengah
kawasan, BN akan memenangi pilihan raya negeri Sabah, dengan "UMNO
dijangka mengekalkan kesemua 32 kerusi yang disandangnya".
Menurut Salleh, seorang
saintis politik yang terkenal, keyakinannya berdasarkan beberapa faktor
termasuk kegagalan pembangkang di Sabah membentuk pakatan yang kuat dan
ketiadaan seorang pemimpin Cina yang kuat dalam pembangkang.
Salleh mendapati bahawa
Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga kekurangan pemimpin Kadazandusun yang
berwibawa dan "tiada pemimpin Bumiputera-Islam berwibawa bagi menguatkan
sokongan orang Islam dalam PKR".
Selain Pakatan Rakyat (Parti
Keadilan Rakyat, Pas dan DAP), terdapat dua parti pembangkang iaitu SAPP (Parti
Maju Sabah) yang berpangkalan di Sabah dan Parti Reformasi Negeri Sabah yang
berpangkalan di Sarawak (Star), dan buat masa ini, ia kelihatan Pakatan Rakyat
dan SAPP atau Star akan berbalah antara satu sama lain daripada satu lawan satu
ke atas parti gabungan yang memerintah pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya pada masa ini 25
kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertaruhkan di
Sabah, daripada 25 kerusi Parlimen itu 20 daripadanya disandang BN dengan lima
lagi oleh pembangkang.
Salleh berkata daripada 25
kerusi Parlimen itu, 11 daripadanya adalah majoriti Bumiputera-Islam, lapan
kerusi Kadazandusun Murut (KDM), masing-masing dua Cina dan empat kerusi
bercampur manakala daripada 60 kerusi DUN itu, 31 daripadanya adalah majoriti
Bumiputera-Islam, 17 majoriti KDM, lapan majoriti Cina dan empat kerusi
bercampur.
Semasa pilihan raya umum
2008, BN Sabah hampir menyapu bersih dengan memenangi 59 daripada 60 DUN dan 24
daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagaimanapun, SAPP
meninggalkan BN pada 17 Sept, 2008.
Beliau berkata dengan
sumbangan Sabah untuk 24 kerusi Parlimen, sejak itu negeri itu dianggap sebagai
'kubu kuat atau simpanan tetap' BN dan ia dijangka menjadi medan pertempuran
barisan depan bagi pilihan raya umum ke-13, terutama di kawasan pinggir bandar
dan bandar.
Mengenai penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin, yang amat
dinanti-nantikan itu, yang diterima baik pemimpin politik dan orang ramai di
Sabah, beliau menyifatkannya sebagai satu langkah di landasan yang betul yang
melambangkan betapa seriusnya kerajaan Persekutuan menangani masalah yang tidak
berkesudahan itu.
Sambil melahirkan rasa
optimis berhubung peluang BN pada pilihan raya umum, Salleh berkata pembangkang
di Sabah nampaknya akan menjadi "organisasi dengan struktur yang
lemah" seperti yang dibuktikan daripada kegagalan mereka membentuk satu
pasukan yang bersatu padu untuk mengalahkan jentera gergasi BN.
"Agenda
Semenanjung" menentang "Agenda Borneo" telah menambah permusuhan
antara Pakatan Rakyat dan Barisan Borneo Bersatu (UBF)," katanya.
Salleh menegaskan bahawa
sokongan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dengan Tan Sri Joseph Pairin
Kitingan yang berkarisma kekal utuh dengan begitu ramai orang menjauhi
pengerusi Star cawangan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang melaung-laungkan
perjuangan "Sabah untuk Rakyat Sabah".
"Sikap perpaduan yang
ditunjukkan Pairin, Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Bernard Dompok (UPKO)
baru-baru ini adalah simbol isyarat bahawa semua pemimpin Kadazandusun bersedia
untuk mengetepikan perbezaan masing-masing bagi memastikan kemenangan besar
buat BN," katanya sambil menambah bahawa pembangkang gagal untuk
menunjukkan bahawa ia adalah sebuah parti alternatif kepada BN di Sabah.
(Bernama)