Thursday, 1 January 2015

186 PEMILIK TANAH SG KOYA FASA 1, 2 &3 TOLAK TAWARAN LUAR MAHKAMAH




OLEH: SHAIMON S JUMADI
FOTO: APEK ANSUKOI



SANDAKAN : Kes tanah di Sungei Koya Fasa 1, 2 dan 3 yang membabitkan tanah seluas 6000,00 ekar yang melibatkan  210 pemilik yang berdaftar di Mahkamah kini dibongkar semula.

Daripada 210 orang pemilik tanah di bawah Skim Pekebun Kecil, hanya 10 orang lain pemiliknya telah keluar kerana mendapat tawaran bayaran pampasan diurus  di luar mahkamah ; setiap orang hanya menerima  RM5000,00 sahaja.


Tetuan Aisah Ahmad & Co yang dilantik sebagai penasihat undang-undang bagi menyelesaikan kes tanah tersebut memberitahu  kepada  media semasa sidang media petang tadi di ballroom Hotel Borneo Cops. 

Katanya para pemilik tanah tersebut sudahpun melantik seorang peguam untuk membantu menyelesaikan kes tanah itu iaitu Tetuan Hairul Vaiyron and Osman Co.

Aisah merasa kesal dengan tindakan 10 orang pemilik itu yang telah berpaling tadah mahu menerima tawaran di luar mahkamah oleh  sebuah syarikat dengan bayaran hanya RM5.000,00 setiap pemilik tanah tersebut.

“Kita membuat tuntutan biar yang berpatutan,  biarlah pihak hakim mahkamah yang memutuskan kerana saya sudah meminta pihak mahkamah  mempercepatkan tarikh mediasi,” ujarnya.

“Saya harap pemilik yang lain seramai 186 orang itu agar tidak akan ikut jejak 10 orang yang berpaling tadah yang mahu diperbodoh-bodohkan oleh pihak-pihak tertentu dengan diberi bayaran RM5,000.00 sahaja pun mata terbeliak kerakusan dengan nilai begitu” katanya.

Katanya, sebagai pemilik tanah Sungei Koya Fasa 1, 2 dan 3 itu harus pertahankan hak milik sendiri; biarlah lambat sedikit untuk mendapat ganjaran asalkan ianya berpatutan  setimpal dan berbaloi dengan kedudukan tanah tersebut.



Sementara komen dari salah seorang pemilik tanah iaitu  Mohsien (gambar) berkata, 10 orang pemilik tanah yang keluar daripada kumpulan Aisah disifatkan sebagai orang-orang yang tidak ada maruah; senang-senang dipujuk rayu oleh orang-orang yang mahu memperbodoh-bodohkan mereka dengan mudah menerima tawaran diuruskan diluar mahkamah hanya menerima pampasan cuma RM5,000.00.


“Sampai ke mana RM5,000.00 tapi mereka bakal kehilangan terus tanah berpuluh-puluh ekar itu sebab sudah dibayar oleh pihak-pihak tertentu yang mahu mencari keuntungan” kata Mohsin.

Berikut Kenyataan Penuh Tetuan Aisah Ahmad & Co

Tarikh       : 30/12/2014
Tempat    : VIP Room, Borneo Cove Hotel

Sidang Akhbar tertutup bersama Wakil sah atau Penasihat Undang-Undang, Puan Aisah Ahmad dan ahli-ahli (Plaintif-Plaintif ) Tanah Koyah A Fasa I, II, & III, Kinabatangan, di bawah Skim Pekebun Kecil.

Wartawan Kanan Sabahkini.Net    : En Shaimon S Jumadi
Jurugambar  : En Apek

Perjuangan ahli-ahli (Plaintif-Plaintif) Tanah Koyah A Fasa I, II, & III, Kinabatangan, di bawah Skim Pekebun Kecil masih belum berakhir. Mereka telah berjaya membawa tuntutan mereka ke Mahkamah Tinggi Sandakan, dengan saman bertarikh 10.10.2013 yang telah menamakan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Sabah sebagai Defendan Pertama  dan Bagusmaju Berhad (No. Syarikat 143255-M) sebagai Defendan Kedua.

Peguam yang mewakili para Plaintif iaitu Tetuan Hairul Vaiyron & Co telah memaklumkan status kes ialah menunggu tarikh mediasi daripada Mahkamah Tinggi, Sandakan atas permohonan Defendan Kedua.

Di saat para Plaintif menantikan tarikh mediasi, pada 30.12.2014, Wakil sah atau Penasihat Undang-Undang para Plaintif, Puan Aisah Ahmad, dimaklumkan bahawa seramai 50 org ahli Tanah Koyah A Fasa I, II, & III, Kinabatangan telah menerima tawaran daripada pihak Bagusmaju Berhad iaitu wang berjumlah RM5,000.00 tertakluk dengan beberapa syarat. Beberapa Plaintif juga dihubungi dan dipujuk rayu untuk menerima tawaran tersebut.

Malah beberapa laporan polis telah dibuat sebelum ini kerana beberapa individu yang pada asalnya bersama-sama Plaintif telah berpaling tadah dan cuba mempengaruhi para Plaintif meninggalkan tuntutan di Mahkamah.

Penasihat Undang-Undang bercakap di sesi sidang akhbar pada hari ini memberi respon bahawa akhirnya perjuangan membawa tuntutan ini ke muka pengadilan menjadi asbab rezeki kepada individu-individu yang dianggapnya sebagai 'parasit' iaitu mengaut keuntungan dari usaha dan pengorbanan para Plaintif yang bersungguh-sungguh menuntut hak dan mempunyai maruah serta pendirian yang teguh.

Beliau yang mendapat kepercayaan lebih kurang 204 orang Plaintif telah menyatakan pendirian yang tidak berbelah bahagi untuk meneruskan perjuangan menuntut hak para Plaintif melalui Mahkamah sehingga selesai.

Ketua Plaintif, Encik Mohsen Jurop, Haji Suar dan beberapa Plaintif yang hadir menegaskan mereka tidak akan berganjak dan berharap pihak Mahkamah memberi tarikh mediasi dengan segera agar ruang mediasi dapat menyelesaikan perkara ini dengan adil dan saksama.

Salah seorang Plaintif, En Abdul Lahit juga mempersoalkan mengapa Abdullah Japar dan isterinya, Rogayah Ahmad masih tidak didakwa  malah tiada status siasatan diberikan. Abdullah Japar mendakwa bahawa dia merupakan ketua pemohon walhal tidak tersenarai sebagai pemilik tanah dan menjadi pemilik dengan melakukan penipuan tuntut waris ke atas pemilik yang masih hidup. Manakala isterinya juga melakukan jenayah yang sama. Bukti-bukti telah diberikan kepada pihak Polis tetapi tiada sebarang pendakwaan dilakukan sehingga kini.

Para Plaintif juga menyatakan kemarahan dan amat kesal dengan tindakan ahli-ahli yang berpaling tadah seperti Jamal Sinyor dan Katiff Kussoi yang disifatkan tidak berpendirian kerana keluar dari tindakan dan tidak berhenti menghubungi para Plaintif bagi tujuan meninggalkan perjuangan yang benar. Tidak terkecuali juga dalang yang mengakibatkan kerugian kepada para Plaintif iaitu Ismail Tarandan dan Abdullah Japar masih terlibat dengan urusan tawaran di atas.

Beberapa Plaintif menambah dengan menyatakan bahawa tanah yang dituntut ini telah dicerobohi oleh pihak lain dan pernah disiarkan di satu akhbar tempatan bahawa 'penceroboh' mahu penyelesaian dengan situasi menang menang, malah dalam satu majlis bersama Datuk Osman Jamal, Datuk Bung Mokhtar dan Datuk Saddi yang di adakan di Dewan Sri Lamag, Bukit Garam pada 18 Febuari 2013 berkenaan isu Tanah Koyah A Fasa I, II, & III, Kinabatangan, di bawah Skim Pekebun Kecil, salah seorang individu yang menduduki tanah tersebut telah menyatakan kebimbangan ke atas nasib mereka yang lain kerana lebih 700 lot di kawasan itu telah mereka diami sekian lama.

Jika penceroboh boleh meminta penyelesaian dan meluahkan kebimbangan, apakah wajar hak para Plaintif sebagai pemilik Tanah Koyah A Fasa I, II, & III, Kinabatangan, yang sah ini dinafikan?

Para Plaintif dengan bersemangat menyatakan bahawa mereka bukan sahaja meperjuangkan hak mereka tetapi untuk generasi mereka kelak agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Mereka juga menegaskan tidak akan tunduk dengan tawaran di luar yang disifatkan amat tidak bermaruah.

Di akhir sesi, para Plaintif mengucapkan jutaan terima kasih kepada Penasihat Undang-Undang dan Peguam mereka yang berdedikasi serta amanah dalam menjalankan tugas mereka sehingga ke tahap ini.  Harapan para Plaintif agar pihak berkuasa iaitu pihak Polis mengambil tindakan kepada laporan-laporan yang telah dibuat dan berharap tarikh mediasi diperolehi dengan segera.

No comments:

Post a Comment