Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Boeing kerana tidak memasang sistem perakam suara dan data penerbangan letak atur pada pesawat komersial.
Katanya, jika Boeing bersetuju untuk memasang sistem itu pada pesawat komersial seperti MH370 dan AirAsia QZ8501, proses pencarian kedua-duanya tentu berbeza.
"Saya tidak faham kenapa Boeing tidak memasangnya," kata Mahathir dalam blognya hari ini.
“Bayangkan jika alat perakam dan isyarat ini dipasang pada pesawat AirAsia Indonesia atau MH370, kita tentu tidak perlu mencarinya di lautan."
Mahathir menyandarkan pandangannya kepada artikel bertajuk "Searching for Answers" di majalah Flight International pada 14 Oktober 2014.
Menurut Mahathir, artikel itu juga menyebut bahawa Airbus bersedia untuk cadangan itu tetapi Boeing tidak bersetuju atas alasan teknologinya tidak sesuai atau tidak selamat.
Ironinya, artikel itu mengatakan bahawa Boeing memasang sistem itu sekurang-kurangnya pada tiga pesawat tentera.
Pesawat AirAsia yang terhempas Khamis lalu dibuat oleh Airbus manakala dua pesawat MAS sebelum ini menggunakan Boeing. (Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment