Sunday 10 February 2013

ANWAR SEPATUTNYA DITOLAK JADI PM?






SUKAR....Mahathir berkata kekuatan PAS untuk menentukan Perdana Menteri pakatan bakal menjadi kesukaran kerana PAS bukan parti dominan dalam PR.

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya ditolak untuk menjadi perdana menteri sejak dari dulu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sepatutnya dari dulu lagi dah tolak Anwar,” kata Dr Mahathir kepada pemberita yang ditemui selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di sini.

“Patut tolak dia dah lama dah, orang yang berkelakuan macam itu macam mana nak terima,” tegas bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun.

Laporan akhbar Umno, Mingguan Malaysia hari ini di muka hadapannya melaporkan Majlis Syura Ulama PAS didakwa menolak Anwar sebagai Perdana Menteri.

Memetik sumber, laporan akhbar Umno itu turut berkata sehubungan itu persoalan siapa yang bakal menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya kembali berbangkit.

“Kalaupun benar pendirian Majlis Syura Ulama tersebut, ia bukanlah satu kejutan kerana sentimen dalam kalangan sebahagian besar pemimpin dan ahli parti itu, mereka sememangnya tidak mahu Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjadi Perdana Menteri.

“Ia dapat dilihat dalam muktamar lalu ... Apabila ahli PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri,” kata sumber tersebut dipetik Mingguan Malaysia.

Ketika Muktamar Tahunan ke-58 PAS di Kota Baru sebelum ini wakil Dewan Ulama PAS mengusulkan untuk Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri.

Saranan itu turut diterima beberapa perwakilan daripada Dewan Muslimat dan juga wakil dari Majlis Syura.

“Dalam masa sama ada juga khabar angin yang mengatakan kalau pembangkang menang mungkin orang luar pakatan akan dilantik ke jawatan tersebut,” kata sumber itu lagi.

Beliau turut menambah 'kekuatan' PAS untuk menentukan perdana menteri pakatan bakal menjadi kesukaran kerana PAS bukan parti dominan dalam PR. (TMI)

No comments:

Post a Comment