Wednesday 6 February 2013

KONVENSYEN BELIA PELENGKAP TRANSFORMASI







Oleh : MOHD HALBI

Pada 02 Februari 2013 yang lalu, belia Beaufort telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya menganjurkan Konvensyen Belia Beaufort yang julung kali diadakan di daerah ini.

Program yang berlangsung selama satu hari ini telah dibuka dan ditutup secara rasminya oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N25 Klias Datuk Hajjah Azizah binti Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun.

Semasa menyampaikan ucaptama pembukaan konvensyen, Datuk Hajjah Azizah menegaskan Program Transformasi Belia yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu telah berjaya melahirkan golongan belia yang aktif dan berjiwa besar.

Perkembangan positif itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan persatuan belia, malah meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini dan sekaligus membolehkan pelbagai program pembangunan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Seramai 190 belia yang terdiri daripada pemimpin belia sekitar daerah Beaufort dan  Kuala Penyu menyertai konvensyen ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort, Cik Zatul Fariha Shafie; Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah Daerah Beaufort, Nordin Ismail; Presiden Gabungan Persatuan Belia Akar Umbi Negeri Sabah (PERUBAH), Awang Saifuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Belia Beaufort, Mohd Halbi Abd Hassan.

Pelbagai segmen telah diadakan sepanjang konvensyen ini antaranya ialah ceramah pencetus sumber inspirasi oleh Pensyarah Pengajian Pentadbiran Korporat dan Polisi dari Universiti Teknologi MARA  Sabah, Firdausi Suffian dan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnol Ariff, Dialog Pemimpin Belia dan Perbahasan Sidang Dewan Parlimen Belia.

No comments:

Post a Comment